Niqab: Bagaimana Catatannya?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Lama sebelum kerajaan Saudi didirikan, pengikut aliran Salafi berjaya membentuk sebuah kerajaan di Maghrib pada kurun kelima Hijrah. Golongan yang dikenali sebagai Murabitun itu menisbahkan diri kepada mazhab Maliki baik dalam akidah mahupun dalam fiqh.

Akidah mereka sama seperti akidah Malikiyyah yang asal iaitu mengisbatkan sifat-sifat Allah tanpa takwil dan ta'til. Lantaran itu, senasib dengan pengikut-pengikut Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab di Arab Saudi, mereka juga dipanggil Mujassimah oleh golongan Asha'irah pimpinan Ibnu Tumart (474 H), al-Mahdi mereka.

Berbeza dengan wanita-wanita di Arab Saudi, wanita-wanita Murabitun tidak berniqab, barangkali kerana mereka berpegang dengan pandangan yang masyhur dalam mazhab Maliki yang tidak mewajibkan wanita menutup muka. Peliknya, kaum lelaki Murabitun pula menutup muka. Perkara ini diingkari dan dibantah oleh Ibnu Tumart, sama seperti pendapat tokoh ikutannya, Imam al-Ghazali (505 H) yang menganggap perbuatan wanita mendedahkan muka sebagai maksiat.

Ibnu al-Athir (630 H) mencatatkan bahawa pada satu hari, beliau ternampak saudara perempuan Yusuf b. Tashfin, pemerintah keempat Murabitun bersama rombongannya yang terdiri daripada ramai jariyah (gadis/hamba perempuan) yang cantik sedang menunggang tunggangan. Ibnu Tumart dan para pengikutnya lalu menyuruh mereka menutup muka dan memukul tunggangan rombongan tersebut sehingga menyebabkan saudara perempuan Yusuf b. Tashfin terjatuh.

Dalam kejadian lain yang direkodkan oleh al-Bidhaq, Ibnu Tumart berjumpa 'Ali b. Yusuf b. Tashfin (537 H) di sebuah masjid. Ketika itu, pemerintah Daulah al-Murabitun yang kelima itu berada bersama beberapa orang menterinya dalam keadaan berselubung muka. Ibnu Tumart menyindir dengan bertanya kepada mereka, "di mana Amir? Saya hanya nampak beberapa orang jariyah yang berniqab."

Sikap keras golongan Asha'irah-Shafi'iyyah dalam masalah niqab semakin pudar di banyak tempat. Di Mesir misalnya, pandangan "niqab hanyalah adat dan bukannya ibadat" dimuktamadkan oleh Wizarah al-Awqaf. Bahkan, kata Syeikh 'Ali Jum'ah:

"Kami berpendapat bahawa niqab jika digunakan sebagai tanda yang memecahbelahkan umat, atau sebagai syiar ibadat dan beragama, maka ia keluar daripada hukum sunat atau harus kepada bid'ah. Jadi, dalam keadaan ini, ia adalah bid'ah".


[Gerakan PENA Malaysia]




Comments