Penampilan dan Agama

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Dalam Islam, apa sahaja pakaian adalah harus dipakai selagi mana ia adalah pakaian yang menutup aurat, tidak menyerupai pakaian agama kaum kafir, bukan juga pakaian yang menonjolkan keluarbiasaan atau kemasyhuran.

Walau bagaimanapun, pakaian juga memainkan peranan yang signifikan untuk mewakili identiti seseorang. Bila kita bercakap tentang pakaian bagi orang agama atau orang yang dikenali berilmu dalam hal ehwal agama, senang kata orang Melayu panggil Ustaz, Imam, Syaikh atau mana-mana label terkini yang diberi oleh masyarakat kepada golongan ini, rata-rata orang Melayu akan menggabungkan golongan agama ini dengan pakaian wajib iaitu kopiah sebagai lambang identiti paling asas.

Di kampung-kampung masih lagi kuat kepentingan kopiah untuk perwatakan agama. Jika tidak pakai kopiah, walaupun dikenali seseorang itu hafiz 30 juzuk Quran, berilmu dalam hadith dan fiqh, kemungkinan besar dia tetap tidak akan ditolak menjadi imam solat di masjid atau surau apabila imam bertugas tidak hadir. Untuk dipelawa menyampaikan kuliah lagi lah tak ada.

Di bandar terutama situasi di Kuala Lumpur, kota metropolitan nan maju dan bergerak pantas, sinonimnya perwatakan agama dengan kopiah sudah hampir terhakis tahun ke tahun. Saya sendiri mengalami perkembangan ini sejak bermastautin di KL sejak 2003. Walaupun melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang Quran Sunnah, saya tak mampu ingat adakah saya pernah pakai kopiah menghadiri kuliah dan masjid serta musolla di UIA. Dan menjadi suasana yang amat biasa di masjid dan musollah UIA untuk kita lihat jemaah solat diimamkan oleh imam tanpa kopiah.

Bila mula masuk ke alam berjiran, saya juga tetap ditolak untuk menjadi imam di surau kejiranan walaupun saya tidak berkopiah bahkan datang surau dengan masih dalam pakaian pejabat. Barangkali setelah banyak kali ahli surau terbiasa solat diimami saya dalam keadaan saya sempurna berjubah dan kopiah, ditambah pula dengan terhadnya pilihan imam yang ada di kejiranan, maka mudah sekali mereka redha untuk diimamkan oleh imam tanpa kopiah.

Kini telah ramai para ustaz dan penceramah agama tampil di media utama atau sosial tanpa kopiah. Bahkan terkadang kita dah tak mampu beza penampilan ustaz/penceramah agama dengan artis penghibur apabila mereka duduk sepentas. Pemandangan ini semakin lama semakin sudah boleh diterima.

Namun, di kampung-kampung yang kuat pegangan agamanya, kopiah masih lagi mahkota wajib bagi golongan agamawan. Kali ini saya pulang ke kampung dan terlupa bawa kopiah. Kopiah arwah ayah pula telah habis kami faraidkan hingga tiada kopiah elok yang tinggal untuk kami pinjam. Alhamdulillah ada hasil faraid serban ini untuk saya jadikan shemagh ke masjid subuh tadi. Risau jugak pergi masjid berjubah tanpa kopiah, nanti pak imam atau bilal confuse untuk pelawa saya jadi imam. Jubah dah pakai, tengok kepala elok belah tepi. Jadi sebagai jalan selamat, letaklah shemagh hitam ni atas kepala.

Konklusinya, kopiah pada saya jelas tidak wajib untuk golongan agama. Tapi ia telah menjadi uruf yang diterima masyarakat. Maka saya akan pakai kopiah apabila saya rasa majlis yang saya akan hadiri itu perlukan saya tampil berkopiah. Yang lebih penting daripada kopiah adalah pakaian kita perlu lebih sesuai dengan identiti yang kita bawa. Jika kita dikenali sebagai agamawan, usahlah berpakaian seperti pemenang anugerah juara lagu.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments