Sifat 'Uluww Kepada Allah

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya menemui taḥrif yang aneh dilakukan oleh pihak yang menafikan sifat ‘uluww kepada Allah. Dalam al-Tafsīr al-Wāḍiḥ oleh Syeikh Muḥammad Maḥmūd al-Ḥijāzī yang diterjemahkan oleh Pustaka Salam, ayat ke-16, surah al-Mulk ditafsirkan begini:

“Wahai manusia, adakah kamu rasa selamat dengan Tuhan Yang Maha Agung yang kamu yakini berada di langit – sedangkan terbukti dengan dalil logik akal bahawa Allah tidak bertempat bahkan Dia berada di segenap tempat dengan kudrat, pengetahuan, dan penguasaan-Nya –...”

Saya menyangka ibarat ini hanya tambahan atau olahan oleh penterjemah, justeru saya menyemak teks asal dalam bahasa Arab, dan ternyata begitulah yang ditulis oleh Syeikh Muḥammad Maḥmūd al-Ḥijāzī. Daripada kenyataan tersebut, beliau menerima bahawa yang dimaksudkan “yang berada di langit” dalam ayat tersebut adalah Allah, tetapi itu hanyalah mengikut iktikad orang-orang musyrik dan kafir.

Jadi, ayat ke-16, surah al-Mulk itu seolah-olah bermaksud “adakah kamu berasa selamat daripada Allah yang kamu sangka berada di langit...” Kerana terlalu pelik, saya menyangka beliaulah orang pertama yang mengemukakan tafsiran seperti itu, tetapi tidak, rupa-rupanya ada “ulama” yang mendahului beliau.

“Ulama” tersebut ialah Abū Muslim al-Aṣfahānī (322 H). Fakhr al-Dīn al-Rāzī (606 H) menukilkan tafsiran tersebut dengan katanya:

قَالَ أَبُو مُسْلِمٍ: كَانَتِ الْعَرَبُ مُقِرِّينَ بِوُجُودِ الْإِلَهِ، لَكِنَّهُمْ كَانُوا يَعْتَقِدُونَ أَنَّهُ فِي السَّمَاءِ عَلَى وَفْقِ قَوْلِ الْمُشَبِّهَةِ، فَكَأَنَّهُ تَعَالَى قَالَ لَهُمْ: أَتَأْمَنُونَ مَنْ قَدْ أَقْرَرْتُمْ بِأَنَّهُ فِي السَّمَاءِ، وَاعْتَرَفْتُمْ لَهُ بِالْقُدْرَةِ عَلَى مَا يَشَاءُ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ

“Kata Abū Muslim, ‘orang-orang Arab mengakui kewujudan Tuhan, tetapi mereka meyakini-Nya berada di langit menyerupai pendapat Mushabbihah. Jadi, Allah taala seolah-olah mengatakan kepada mereka, ‘adakah kamu berasa selamat daripada Dia yang kamu akui berada di langit dan memperakui bahawa Dia mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki untuk menunggangbalikkan bumi menimbus kamu?”

Dan hakikat yang mungkin mengejutkan kita, Abū Muslim ini seorang pelampau Mu‘tazilah. Jadi, tafsiran yang termaktub dalam kitab tafsir Ahli Sunnah bersambung sanadnya kepada musuh mereka iaitu Mu’tazilah!

Fakhr al-Dīn al-Rāzī adalah tokoh Ashā‘irah yang besar dan kitab tafsirnya, Mafātiḥ al-Ghayb ini adalah kitab tafsir yang berpengaruh dalam kalangan mereka. Kitab ini dikritik oleh ramai ulama. Kata Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī, “aku tidak melihat kitab tafsir yang menghimpun kebanyakan ilmu tafsir daripada (Tafsir) al-Qurṭubī, dan Tafsir Imam Fakhr al-Dīn, cuma ia banyak kecacatan.” Kata Ibnu Khallikān, “beliau menghimpun di dalamnya semua perkara pelik dan ganjil.”

Dan sebabnya tidak lain tidak bukan, kerana rujukan kitab tafsirnya adalah daripada sumber-sumber Mu‘tazilah. Selain Abū Muslim al-Aṣfahānī, mufassir Mu‘tazilah, banyak lagi tokoh Mu‘tazilah yang menjadi rujukan kitab yang dipanggil al-Tafsīr al-Kabīr itu. Bahkan, kata Imam Ibnu al-Musaffir (743/744 H), “tafsir Ibnu al-Khaṭīb mengandungi empat ilmu yang dinukilkan daripada empat kitab yang penulis-penulisnya semuanya Mu‘tazilah...”



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments