Anak Zina Sebagai Anak Angkat?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Ada rakan saya yang mengambil anak zina sebagai anak angkat kerana si ibu tidak mampu menjaganya. Dan supaya mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang sah di sisi syarak, anak yang masih suci itu disusui oleh adik-beradik. Ini tindakan terpuji.

Kerana lahir tanpa bapa, anak zina atau anak mangsa rogol ialah anak yang malang. Menurut beberapa fatwa, anak zina dihukum seperti anak yatim, walaupun hakikatnya ia bukan yatim kerana takrif yatim ialah kanak-kanak yang kematian, bukan ketiadaan bapa. Sama ada ini benar atau tidak, anak zina berhak dikasihani selayaknya orang yang tidak bernasib baik.

Dan dari satu sudut, anak zina lebih malang daripada anak yatim, kerana anak zina mendapat aib hasil kesalahan orang lain. Selain itu, anak yatim asalnya mempunyai bapa dan akan menemui bapa di syurga jika bernasib baik, namun anak zina tidak pernah dan tidak akan menemui bapa kerana ia tidak mempunyai bapa.

Tentang ibu kepada bayi itu, di sebalik dosa itu rupa-rupanya terselit sebuah kisah duka. Dia berasal dari keluarga yang bermasalah. Bapa curang, ibu pun curang, kemudian mereka pun bercerai. Akibatnya, dia terbiar dan menjadi liar sampai berzina dan melahirkan anak zina. Kini dia sudah bertaubat dan berada di pusat pemulihan. Ibunya tidak datang menjenguk sejak berkahwin lain.

Semoga kita mengambil pengajaran.

--------------------------------------------------------------------------

Tentang kes penderaan yang heboh hari ini, saya menasihatkan kepada ibu bapa atau penjaga yang tidak mampu menjaga anak dengan baik, mohon serahkan mereka kepada orang lain. Mungkin ia bebanan bagi anda, tetapi bagi orang lain itulah syurga.

Kedua, jika tahu ada kes penderaan, terutamanya jiran selaku orang yang paling hampir dengan tempat kejadian, mohon bertindak awal. Jika takut diapa-apakan, kongsikan dengan orang lain atau laporkan kepada pihak berkuasa. Kita selalu menyesal selepas anak yang tidak berdosa itu mati.

Ketiga, laksanakan qiṣāṣ kepada pembunuh dengan cara yang sama mangsa dibunuh. Jika mangsa dibunuh dengan penderaan, maka pembunuh juga didera sampai mati. (Ini melainkan pembunuh adalah ibu bapa, kerana mengqiṣāṣ ibu bapa dengan sebab membunuh anak ditolak oleh jumhur, walaupun sebahagian ulama termasuk Imam Mālik pula memilih sebaliknya.)

Cukuplah, kami tidak sanggup mendengar lagi kes seperti ini terjadi.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments