Covid-19 Sama Dengan Sopak?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sebuah artikel diterbitkan oleh Aljazeera pada bulan Mac tahun lepas menceritakan peristiwa-peristiwa penutupan masjid dan penghentian solat berjemaah dalam sejarah Islam. Artikel itu mendakwa ‘Amr b. al-‘Āṣ RA adalah “orang pertama yang menyeru kepada isolasi sosial (duduk terpisah atau berjauhan) untuk menghadapi wabak.” Kenyataan ini disandarkan kepada arahan beliau supaya bertafarruq (duduk terpisah) di kawasan pedalaman untuk mengawal penularan wabak taun.

Namun begitu, setelah menyemak riwayat-riwayat berkenaan, pendalilan yang dibuat itu didapati silap. Terdapat banyak riwayat mengenai perkara ini, dan dalam sejumlah riwayat yang sahih, ‘Amr b. al-‘Āṣ RA menarik semula pendapatnya setelah ditegur oleh Shuraḥbīl RA secara tegas dengan katanya, “kamu dusta. Demi Allah, aku telah bersama Rasulullah SAW dalam keadaan kamu lebih sesat daripada unta milik keluargaku. Ia rahmat Tuhan kamu, doa nabi kamu, dan kematian orang-orang soleh sebelum kamu. Oleh itu, berkumpullah dan jangan berpisah-pisah daripadanya.” 

Pengingkaran Shuraḥbīl ini, walau bagaimanapun, menimbulkan kebingungan pula kerana seolah-olah beliau menolak sebarang langkah pencegahan. Terdapat juga athar sahabat yang mengatakan, “lari daripada taun seperti lari daripada medan perang.” Dan lebih mengejutkan, athar ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA yang pernah disebarkan untuk menyokong penjarakan sosial, “duduklah daripadaku sejauh anak panah” yang ditujukan kepada orang yang terkena sopak rupa-rupanya munkar – sebagaimana yang dikaji oleh Syeikh Khālid al-Ḥayk – dan mengikut riwayat yang lebih kuat, beliau malah duduk rapat dan minum di tempat yang disentuh oleh mulut pesakit itu!

Sebenarnya, tidak wajar menyamakan taun dan sopak pada zaman sahabat dengan Covid-19. Hal ini kerana taun (plague) tidak sama dengan Covid-19 dari segi cara penyebaran, atau jika sama, pengetahuan manusia tentang taun ketika itu masih di tahap yang rendah, sehingga menyebabkan idea untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti yang dibuat untuk mengatasi penularan Covid-19 munasabah untuk ditolak.

Adapun sopak, “ramai yang beranggapan penyakit ini berjangkit tetapi hakikatnya ia bukanlah suatu penyakit berjangkit ataupun boleh mengancam nyawa," jadi perbuatan 'Umar tidak menjauhi pesakit sopak adalah wajar.

Syarat untuk menghukum bidaah sesuatu perkara ialah qiyām al-muqtaḍī dan intifā’ al-māni‘ iaitu kewujudan faktor dan ketiadaan halangan. Selagi ada kemungkinan bahawa muqtaḍī tidak wujud atau kemungkinan wujudnya halangan, selagi itulah ia tidak boleh dianggap bidaah. 

Begitu juga dengan kes penjarakan saf disebabkan Covid-19, selagi tidak terbukti bahawa taun pada zaman sahabat dapat dielakkan melalui penjarakan fizikal, dan selagi tidak terbukti bahawa para sahabat memahami taun boleh dielakkan dengan kaedah itu, selagi itulah penjarakan saf tidak boleh dianggap bidaah atau dikatakan bercanggah dengan petunjuk sahabat.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments