Adakah Benar Anologi Hadis Ibarat Sawah Padi?

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Analogi yang menyatakan hadis ibarat sawah padi adalah analogi yang tersilap.

Sawah padi berkait dengan makanan, sedangkan hadis merupakan usul agama.

Hadis merupakan ucapan, perbuatan, dan pengakuan Rasulullah untuk umatnya. Ia bukan tumbuhan atau biji benih.

Ucapan Rasulullah merupakan ucapan yang terang dan jelas, boleh difahami oleh bangsa arab samada yang buta huruf seperti Arab Badwi ataupun yang berpelajaran.

Isu kesemua hadith nabi dianalogikan seperti sawah padi ibarat seperti semua ucapan nabi tidak jelas, bahan mentah yang tidak boleh difahami, bahasa aras tinggi, yang hanya boleh difahami oleh golongan tertentu sahaja. Maka pandangan seperti ini merupakan pandangan yang ganjil.

Jikalau kita menyatakan sedemikian, tentulah hadith 40 sekalipun yang merupakan asas kepada mereka yang ingin berkecimpung di dalam bidang hadis, tidak boleh difahami.

Apa yang benarnya, bahan mentah ialah seperti Sahih Bukhari & Muslim, sebagai salah satu tamsilan. 

Ini kerana kedua-dua kitab ini cara perbahasan lebih kepada isu yang tinggi. Isu sanad perawi, nama perawi yang pelbagai dan rencam, begitu juga isu tambahan lafaz, tambahan teks, isu muan-an dan seumpamanya yang sukar difahami oleh pemula atau orang biasa.

Adapun hadith seperti hadis 40 atau hadis-hadis hukum bukanlah bahan mentah ataupun sawah padi. Ini kerana hadis-hadis ini memang disusun secara mudah untuk difahami oleh orang awam dan penuntut ilmu. 

Ia tidak membahaskan isu sanad, riwayat dan seumpamanya, lebih kepada intipati hadith itu sendiri. Tujuan utama supaya masyarakat dan penuntut ilmu mengetahui dalil-dalil hukum daripada hadis.

Kesimpulannya, menganalogikan secara pukal bahawa hadis itu merupakan sawah padi atau bahan mentah adalah tidak tepat.

Melainkan menyatakan kitab-kitab hadis tertentu seperti Sahih Bukhari, Musnad Ahmad, Musnad Abu Daud at-Tayalisi ataupun Jam'ul Jawami', Mastadrak al-Hakim dan yg sewaktu dengannya sebagai bahan mentah ataupun sawah padi, barulah ianya analogi yang tepat.

Bahan mentah ini bukan sekadar kitab-kitab didalam hadis sahaja. Kitab-kitab yang tebal, seperti Tafsir at-Tabari, mana-mana Mausu'ah ( Ensiklopedia) pun termasuk didalam bahan mentah.

Sebabnya, melompat mempelajari kitab-kitab yang tebal-tebal ini, tidak akan menambahkan ilmu jikalau asasnya tiada, bahkan menambahkan kebingungan.

Sepertimana tangga didalam rumah yang perlu dinaiki satu demi satu daripada bawah, begitu juga tangga ilmu, perlu didaki daripada bawah satu demi satu.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments