Beza Nasihat Dengan Menghasut

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Para ulama zaman berzaman gigih menggalas tanggungjawab nasihat yang diperintahkan oleh Syariat, yang menjadi antara ciri utama kelebihan umat ini sebagai ‘khayru ummah’. 

Ia termasuk dalam erti amar makruf nahi mungkar.  

Demikian Imam Malik mempertahankan pandangannya tentang tidak sahnya talak suami yang dipaksa walaupun beliau dihukum oleh penguasa. 

Imam Ahmad mempertahankan pandangannya bahawa al-Quran ialah Kalam Allah sehingga dihukum dan dipenjarakan. 

Imam Bukhari pula enggan mengetuk pintu penguasa membawa buku Sahihnya sekalipun diperintahkan berbuat demikian kerana melihat perbuatan sedemikian menghina ilmu yang dibawanya. 

Syeikh al-Albani bertegas tidak bersetuju dengan saranan pemusatan azan di masjid-masjid (laungan azan menggunakan pembesar suara masjid yang dihubungkan dengan radio; bukan melalui muazzin) yang diutarakan oleh pihak berkuasa Agama.

Dan banyak contoh lain. 

Menyatakan pandangan apatah lagi dengan alasannya serta sokongannya daripada dalil-dalil al-Quran dan as-Sunah merupakan suatu yang baik lagi dituntut. 

Semestinya pandangan itu disampaikan secara objektif dengan adab dan tertib. 

Ia mencerminkan prinsip, keteguhan serta istiqamah menyampaikan kebenaran serta mempertahankannya. 

Ini berbeza dengan perbuatan menghasut dan memburuk-burukkan penguasa, sekalipun dengan mengatas namakan nasihat dan amar makruf nahi mungkar. 

Nasihat bertujuan untuk membina dan merealisasikan kebaikan. Adapun menghasut, ia bertujuan untuk meruntuhkan dan melakukan kejahatan. 

Imam Ibnu Rajab mengulas perkara ini dalam bukunya ‘al-Farq Baina an-Nasihah Wa at-Ta’yiir’ (Beza Antara Nasihat dan Celaan).

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments