Meminta Kembali Pemberian Kepada Calon Isteri

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sudah menjadi adat dan kelaziman, lelaki memberikan sesuatu kepada calon isterinya, dan semua itu pastinya dengan harapan mereka akan bersatu sebagai suami isteri suatu hari nanti. Namun, harus diketahui bahawa jika pertunangan itu dibatalkan, ia berhak menuntut semula pemberiannya. Demikian yang difatwakan oleh Shihāb al-Dīn al-Ramlī, dan dalam Ḥashiyah al-Qalyūbī disebutkan:

دَفَعَ الْخَاطِبُ بِنَفْسِهِ أَوْ وَكِيلِهِ أَوْ وَلِيِّهِ شَيْئًا مِنْ مَأْكُولٍ أَوْ مَشْرُوبٍ أَوْ نَقْدٍ أَوْ مَلْبُوسٍ لِمَخْطُوبَتِهِ أَوْ وَلِيِّهَا ثُمَّ حَصَلَ إعْرَاضٌ مِنْ الْجَانِبَيْنِ أَوْ مِنْ أَحَدِهِمَا أَوْ مَوْتٌ لَهُمَا أَوْ لِأَحَدِهِمَا رَجَعَ الدَّافِعُ أَوْ وَارِثُهُ بِجَمِيعِ مَا دَفَعَهُ إنْ كَانَ قَبْلَ الْعَقْدِ مُطْلَقًا وَكَذَا بَعْدَهُ إنْ طَلَّقَ قَبْلَ الدُّخُولِ أَوْ مَاتَ إلَّا إنْ مَاتَتْ هِيَ وَلَا رُجُوعَ بَعْدَ الدُّخُولِ مُطْلَقًا

“Calon suami, wakil, atau walinya memberikan sesuatu berupa makanan, minuman, wang, atau pakaian kepada calon isteri atau walinya, kemudian berlaku keengganan daripada kedua-dua belah pihak atau sebelah pihak, atau kedua-dua atau salah seorang daripada mereka mati, yang memberi atau warisnya boleh menuntut semula semua yang diberikan jika sebelum akad secara mutlak, dan begitu juga sekiranya selepasnya jika ditalak sebelum dukhūl kecuali jika perempuan itu mati dan tidak ada rujuk selepas dukhūl secara mutlak.”

Demikian menurut mereka, pemberian itu boleh dituntut walaupun pembatalan itu datang daripada pihak lelaki. Namun, menurut Ibnu Ḥajar, calon suami hanya berhak menuntut semula jika pembatalan itu datang daripada pihak perempuan. Kata beliau dalam fatwanya:

اخْتَلَفَ الْمُتَأَخِّرُونَ في ذلك وَاَلَّذِي دَلَّ عليه كَلَامُ الرَّافِعِيِّ في الصَّدَاقِ أَنَّهُ إنْ كان الرَّدُّ منهم رَجَعَ عليهم لِأَنَّهُ لم يُهْدِ لهم إلَّا بِنَاءً على أَنْ يُزَوِّجُوهُ ولم يَحْصُلْ غَرَضُهُ فَإِنْ كان الرَّدُّ منه فَلَا رُجُوعَ له لِانْتِفَاءِ الْعِلَّةِ الْمَذْكُورَةِ

“Ulama-ulama muta’akhkhir berselisih tentang itu dan yang ditunjukkan oleh kalam al-Rāfi‘ī dalam bab ṣadāq bahawa jika pembatalan itu datang daripada mereka (pihak perempuan), ia berhak menuntut semula daripada mereka kerana ia tidak memberikan kepada mereka kecuali dengan anggapan mereka akan mengahwinkannya dan maksudnya tidak tercapai. Sekiranya pembatalan datang daripadanya (lelaki), ia tidak boleh merujuknya kerana tiada ‘illah yang disebutkan.”

Kerana masalah ini bukan masalah hibah atau hadiah seperti yang diberikan kepada orang lain, maka sesuatu yang diberikan sepanjang tempoh pertunangan itu dianggap tertakluk kepada hukum ini, walaupun lelaki tidak mengatakan bahawa ia memberi dengan syarat mereka akan berkahwin, dan perempuan pula tidak boleh mendakwa bahawa yang diterimanya adalah semata-mata hadiah. Kata Imam Shihāb al-Dīn al-Ramlī:

وَظَاهِرٌ أَنَّهُ لَا حَاجَةَ إلَى التَّعَرُّضِ لِعَدَمِ قَصْدِهِ الْهَدِيَّةَ لَا لِأَجْلِ تَزَوُّجِهِ بِهَا؛ لِأَنَّهُ صُورَةُ الْمَسْأَلَةِ إذْ لَوْ قَصَدَ ذَلِكَ لَمْ يُخْتَلَفْ فِي عَدَمِ الرُّجُوعِ. اهـ.

“Zahirnya tidak perlu ta‘arruḍ bahawa ia tidak meniatkan hadiah, tetapi kerana ingin mengahwininya, kerana inilah bentuk masalah kerana jika ia meniatkan demikian tiada khilaf bahawa tidak boleh menuntut semula.”



[Gerakan PENA Malaysia[



Comments