Mengajarkan Ilmu Kepada Semua

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Ilmu itu merupakan kurniaan Allah. Demikian juga mengajarkan ilmu serta memberi kefahaman kepada insan-insan yang diajarkan.

Semua ini kurniaan Allah. Ada orang meski ada ilmu, dia tidak dikurniakan semangat atau kehendak mengajar. Ada pula orang yang mengajar, sulit baginya nak memberi kefahaman atau memudahkan kefahaman kepada pendengarnya.

Kata Al Imam Ahmad - rahimahullah - :

إنما العلم مواهب يؤتيه اللَّه من أحب من خلقه

Maksudnya : Sesungguhnya ilmu itu merupakan suatu kurniaan yang Allah berikan kepada mereka yang Dia kasihi dari kalangan makhluk-Nya.

Rujuk Tabaqat Al Hanabilah, Ibn Abi Ya’la (1/75)

Justeru kita harus sedar, berilmu, mengajarkan ilmu, serta memberi kefahaman akan ilmu yang diajar ini bukan milik kita. Ia hakikatnya kurniaan dan milik Allah. Kita ini hanyalah wasilah sahaja untuk orang mendapat, mempelajari, dan memahami ilmu.

Namun meski ia bersifat kurniaan, bukan bermakna kita tidak boleh meminta atau memperolehnya.

Kita boleh berusaha, seperti :

• Doa supaya Allah berikan kita ilmu bermanfaat. Seperti : اللهم إني أسألك علما نافعا (Ya Allah aku meminta kepada-Mu ilmu yang bermanfaat.

• Bertakwa kepada Allah untuk memperoleh ilmu. Seperti firman-Nya : واتقوا الله ويعلمكم الله (dan bertakwalah kamu kepada Allah nescaya Dia akan mengajarkan ilmu kepada kamu.

• Mempelbagaikan uslub dalam mengajar. Seperti yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W kepada para sahabat.

• Mengajar dengan mendahulukan صغار العلم (ilmu ilmu asas) sebelum كباره (ilmu peringkat tinggi dan boleh jadi kompleks untuk difahami oleh pemula). Inilah ciri alim rabbani.

• Mempermudahkan bahasa yang digunakan dalam mengajar seperti kenyataan : خاطبوا الناس على قدر عقولهم (berbicaralah dengan orang ramai mengikut kadar akal mereka).

• Doa, doa, dan doa. Supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik kepada mereka yang mendengar ilmu yang disampaikan oleh kita.

والله الموفق



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments