Sujud Syukur Selepas Peperiksaan

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Tentang sujud secara berjemaah selepas peperiksaan, memang sujud syukur disyariatkan dan Rasulullah SAW pernah bersujud secara beramai-ramai, tetapi sujud yang dilakukan baginda itu sujud tilawah, bukan syukur. Itu satu. Kedua, harus diingatkan bahawa mengharuskan dan mensyariatkan sesuatu perkara, tidak bermakna perkara itu boleh dijadikan amalan, yakni suatu kelaziman yang terancang, atau boleh dilakukan dengan apa-apa kaifiat sewenang-wenangnya sehingga dianggap disyariatkan secara khusus oleh syarak.

Ulama-ulama yang mengatakan pahala bacaan tahlil dan al-Quran sampai kepada si mati, misalnya tidak bermakna mereka mengatakan kita boleh membuat majlis khas di rumah si mati untuk bertahlil dan membaca al-Quran, bahkan sebahagian mereka secara sarih mengingkari perhimpunan di rumah si mati. Imam al-Shāfi‘ī mensyariatkan amalan membaca al-Quran di kubur, tetapi ini tidak bermakna orang ramai boleh berkumpul beramai-ramai, duduk sampai bermalam, dan mengambil serta memberi upah untuk tujuan itu.

Sudah menjadi adat pada zaman Imam Ibnu al-Ḥāj mengucapkan “sihat” selepas minum air. Beliau mengingkari amalan itu walaupun mengakui ia harus pada asalnya. Katanya, “dan lafaz ini walaupun merupakan doa yang baik, tetapi menjadikannya kebiasaan ketika minum adalah bidaah.” Mereka juga membeli susu pada awal tahun dengan harapan tahun itu akan menjadi “putih” seperti susu. Kata beliau tentang ini, “adapun (ia menjadi) bidaah, kerana mereka menjadikannya kebiasaan dan ia bersalahan dengan amalan salaf.”

Jadi, berhati-hati dalam mentanzīl keharusan yang disebutkan oleh ulama kepada amalan-amalan yang dilakukan pada hari ini. Ya, mungkin ia belum menjadi amalan umum dan adat, namun kita tidak boleh mengabaikan tuntutan sadd al-dharā‘i' lebih-lebih lagi dalam suasana akhir zaman yang sedang kita hadapi sekarang.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments