OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Masih ada orang yang ingin membela manhaj hadis Syeikh al-Sha‘rānī dan enggan menerima hakikat bahawa manhaj hadis beliau bukan manhaj hadis yang diamalkan oleh ulama hadis. Walhal, manhaj beliau dalam ilmu syariat benar-benar bermasalah.
Sudah disebutkan sebelum ini bahawa “sisi sufi beliau lebih menonjol berbanding sisi beliau sebagai ahli hadis.” Dakwaan ini bukan omongan kosong, tetapi mempunyai bukti yang akan disebutkan nanti dan disusuli dengan kenyataan ulama hadis dari pihak mereka sendiri. Orang yang tidak suka atau tidak setuju dengan kenyataan ini dipersilakan memberikan jawapan balas, tetapi pastikan setiap hujah dijawab dengan hujah yang setara.
Buktinya, beliau mengiktiraf kasyaf sebagai sumber dalam ilmu hadis. Katanya tentang sebuah hadis:
وهذا الحديث وإن كان فيه مقال عند المحدثين فهو صحيح عند أهل الكشف.
“Hadis ini, walaupun bermasalah di sisi ahli hadis, namun ia sahih di sisi ahli kasyaf.”
Menggunakan kasyaf untuk menolak dan menerima hadis adalah manhaj golongan sufi. Mahaguru mereka, Ibnu ‘Arabī telah mengamalikan manhaj ini secara meluas dengan mensahihkan sebanyak 33 buah hadis melalui kasyaf dalam al-Futūḥāt al-Makkiyyah, sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Muḥammad Anas Sarmīnī dalam artikelnya. Kata Ibnu ‘Arabī:
ونُصَحِّح من هذا الطريق أحاديث النبي، فرُبَّ حديث صحيح عن أهل الفن لا يثبت عندنا من هذا الطريق، ورب موضوع عندهم يصح بقوله صلى الله عليه وسلم هذا حديث قلته.
“Kami mensahihkan menerusi cara ini (kasyaf) hadis-hadis Nabi. Jadi, kadang-kadang sebuah hadis hadis di sisi ahl al-fann (ahli hadis) tidak sabit di sisi kita melalui cara ini. Dan kadang-kadang hadis palsu di sisi mereka sahih dengan kata baginda SAW, ‘hadis ini aku pernah ucapkan.’”
Kaedah ini tidak pernah disebutkan atau diamalkan oleh mana-mana ulama hadis, kecuali ulama hadis yang mempunyai latar belakang sufi. Ibnu ‘Arabī, sufi yang dianggap “termasuk golongan hashawiyyah, melampau, penganut falsafah batiniyyah, mulhid, jabriyyah, mutaṣawwifah yang mengaku Islam...” oleh Imam al-Ahdal (855 H) ulama sufi berakidah Ashā‘irah dan bermazhab Shāfi‘ī, adalah orang pertama yang memperkenalkan kaedah ini. Jadi, mengikut manhaj ahli hadis yang sebenar, manhaj ini menyeleweng.
Tidak dinafikan ada ulama hadis yang menerima atau tidak mengingkari manhaj ini, namun itu tidak bermakna ia boleh dianggap sebagai manhaj ahli hadis. Sebab itulah, al-‘Ajlūnī yang memperakukan manhaj tersebut ditempelak oleh Syeikh ‘Abd al-Fattāḥ Abū Ghuddah, ulama hadis dari Syria dengan katanya:
ولا يكاد ينقضي عجبي من صنيعه هذا وهو المحدث الذي شرح صحيح البخاري، كيف استساغ قبول هذا الكلام الذي تهدر به علوم المحدثين، وقواعد الحديث والدين؟ ويصبح به أمر التصحيح والتضعيف من علماء الحديث شيئاً لا معنى له بالنسبة إلى من يقول: إنه مكاشَف أو يَرى نفسه أنه مكاشَف! ومتى كان لثبوت السنة المطهرة مصدران: النقل الصحيح من المحدثين والكشف من المكاشفين؟!
“Hampir-hampir tidak terhenti kehairananku dengan perbuatannya ini, padahal beliau ahli hadis yang mensyarah Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Bagaimana mungkin beliau menerima kata-kata (Ibnu ‘Arabī) ini yang memusnahkan ilmu ahli hadis serta kaedah hadis dan agama, dan menjadikan urusan mensahihkan dan menḍa‘īfkan yang dilakukan oleh ulama hadis tidak mempunyai makna bagi orang yang mendakwa ia kasyaf atau mendapati dirinya kasyaf. Sejak bila sabitnya sunnah yang suci ada dua sumber: riwayat sahih daripada ahli hadis dan kasyaf daripada orang kasyaf?”
Beliau menyudahkan kalamnya dengan katanya:
فحذارِ أن تغتر بهذا، والله يتولاك ويرعاك.
“Maka hati-hati jangan terpedaya dengan ini. Semoga Allah menjaga dan memeliharamu.”
Dan demikian juga saya sudahi tulisan kali ini, jangan terpedaya dengan kaedah-kaedah yang terkeluar daripada kaedah ulama hadis, walaupun datang daripada ulama yang mengarang kitab ilmu hadis.
Comments
Post a Comment