OLEH: Abu Aqif
Ibnul Qayyim mengatakan,
"Termasuk di antara petunjuk Nabi ﷺ ketika bersafar adalah mengqasar solar fardhu dan baginda tidak mengerjakan solat sunnah rawatib qabliyah (sebelum) dan ba'diyah (selepas).
Yang biasa baginda tetap lakukan adalah mengerjakan solat sunnah witir dan solat sunnah qabliyah (sebelum) subuh.
Baginda tidak pernah meninggalkan kedua solat ini baik ketika bermukim dan ketika bersafar." [Zaadul Ma’ad, 1: 456].
Walaupun tidak melakukan solat sunnah tersebut, pahala tetap dicatatkan bagi mereka yang telah menjadikan ianya kebiasaan selama bermukim.
Nabi ﷺ bersabda,
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
"Jika seseorang sakit atau bersafar, maka dicatat baginya pahala sebagaimana dia mukim atau ketika dia sihat." [HR. Bukhari no. 2996].
Ringkas Witir
Witir 1 rakaat:
Solat witir minimum dilakukan 1 rakaat berdasarkan hadis Ibnu Umar,
"Solat malam itu dua rakaat dua rakaat. Jika salah seorang dari kalian khuatir akan masuk waktu subuh, hendaklah dia solat satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solat yang telah dilaksanakan sebelumnya." [HR. Al-Bukhari no. 990 dan Muslim no. 749]
Boleh juga 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat, dan 11 rakaat. Semua ini ditunjukkan oleh hadis Abu Hurairah riwayat Al-Hakim (1/314) dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dalam Solat At-Tarawih hal. 85.
Cara perlaksanaan solat witir:
Witir 3 rakaat:
1. tidak boleh serupa dengan solat maghrib. Boleh dikerjakan 3 rakaat dengan satu kali tasyahud pada rakaat ketiga lalu salam.
2. boleh juga dikerjakan dengan 2 kali salam, iaitu dikerjakan 2 rakaat dahulu baru satu rakaat.
Dalilnya dari hadis Abu Hurairah riwayat Al-Hakim di atas dan Ahmad 6/83. Syaikh Syu'aib Al Arnauth mengatakan hadis ini sahih.
Witir 5 rakaat:
1. solat dua rakaat-dua rakaat sebanyak 4 rakaat kemudian ditutup dengan solat satu rakaat.
2. sekaligus mengerjakan 5 rakaat secara bersambung tanpa duduk tahiyyat kecuali di akhir rakaat saja.
Dalil, berdasarkan hadis Aisyah riwayat Abu Awanah (2/135).
Witir 7 rakaat:
1. dikerjakan dua rakaat-dua rakaat sebanyak 6 rakaat dan ditutup dengan solat satu rakaat.
2. dikerjakan 7 rakaat secara bersambung dan duduk tahiyyat pada rakaat keenam lalu membaca tahiyyat sampai akhir akan tetapi tidak salam, setelah tahiyat dia berdiri selanjutnya mengerjakan rakaat ketujuh dan kemudian salam.
Dalil, berdasarkan hadis Aisyah radhiallahu anha riwayat Muslim no. 746.
Witir 9 rakaat:
1. dikerjakan dengan dua rakaat-dua rakaat hingga 8 rakaat dan kemudian diakhiri dengan satu rakaat sebagai witir.
2. Atau dikerjakan bersambung sampai 8 rakaat dengan duduk tahiyyat pada rakaat kelapan tapi tidak salam, kemudian berdiri ke rakaat 9 lalu duduk tahiyyat lagi (tahiyyat akhir) dan di akhiri dengan salam.
Dalil, berdasarkan hadis Aisyah radhiallahu anha riwayat Muslim no. 746.
Witir 11 rakaat:
1. dikerjakan dua rakaat-dua rakaat hingga sepuluh rakaat kemudian diakhiri dengan satu rakaat.
2. Atau dikerjakan empat rakaat-empat rakaat dan kemudian witir tiga rakaat.
Semua ini disebutkan oleh Asy-Syaikh Muhammad bin Umar Bazmul dalam Bughyah Al-Mutathawwi’ hal. 55-62
Comments
Post a Comment