Metode Garpu Tala Tiada Dalil Al-Quran dan As-Sunnah

 OLEH: Ustaz Suhili Nain

Konsep Metode Garpu Tala ini sebenarnya adalah Tafaul bil Quran atau Istikharah Bil Quran dan tidak mempunyai sandaran daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Ia tiada asal sedikit pun dalam syarak. 

Terdapat pernyataan bahawa Ibnu Bathah mengharuskan, namun saya melihat ia adalah pendapat yang syaz. Tiada seorang ulama pun mengamalkan ia sebelum Ibnu Bathah, malah pendapatnya itu ditolak oleh para ulama lain kerana tiada satu hujah pun daripada Al-Quran dan hadis membenarkan perkara tersebut. Malah yang nyata ia menyelisihi kaedah.

Pendapat yang syaz sedemikian, tidak boleh dipegang sama sekali. Apatah lagi apabila jelas  metode ini membawa bahaya yang besar kepada kefahaman masyarakat mengenai kaedah berpegang dengan Al-Quran.

Dr. Musthafa Dib Al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu dalam kitab mereka Al-Wadhih Fii Ulum Al-Quran.

ومن الناس من يستخير بالقرآن بطريقة أخرى، وهي أن يأخذ المصحف ويفتحه عفوا ثم ينظر إلى أولى سطر في الصحيفة الأولى، وبعضهم يعدّ سبع ورقات ثم سبعة أسطر ثم سبع كلمات، ثم يقرأ، فإن وجد آية تأمر بفعل شيء فعل، وإن وجد آية تنهى عن فعل شيء ترك الفعل، وهذه الاستخارة لا أصل لها في الشرع ولم تنقل عن أحد من الأئمة أو العلماء،

"Dan antara manusia ada yang beristikharah dengan Al-Quran dengan cara lain, iaitu mereka mengambil mushaf dan membukanya secara automatik (tanpa dirancang), lalu melihat kepada baris pertama dalam halaman pertama (yang dibuka). Dan sebahagian daripada mereka menghitung halaman ketujuh, kemudian baris ketujuh, kemudian perkataan ketujuh lalu membacanya. Sekiranya dia mendapati ayat memerintahkan melakukan sesuatu, maka dia melakukan (rancangannya), sekiranya dia mendapat ayat yang melarang, maka dia meninggalkan perbuatan tersebut. Ini adalah kaedah Istikharah yang tiada asal baginya dalam syarak, dan tidak dinukilkan daripada seorang pun daripada kalangan imam atau ulama." (Sumber: Al-Wadhih Fii Ulum Al-Quran)

.

Terdapat komen menyatakan bahawa Metode Garpu Tala serupa dengan amalan golongan Syiah, lalu saya pun buat semakan dan ternyata ia adalah benar.

Perbuatan Garpu Tala ini menyamai amalan Syiah yang disebut sebagai Istikharah Bil Quran dan disebutkan dalam kitab Syiah berjudul Tahdzib Al-Ahkam (juz. 3, hal. 310) karya Ath-Thusi, Fath Al-Abwab (hal. 56, 278-279) karya Ibnu Thawus.

Ini contoh daripada kitab Syiah:

حديث عن رسول الله صلی الله عليه وآله وسلم أنه قال: إذا أردت أن تتفائل بكتاب الله، فاقرأ سورة الإخلاص ثلاث مرات، ثم صل على النبي صلی الله عليه وآله وسلم ثلاثاً، ثم قل: (اللهُمَّ إِنِّي تَفَأَّلْتُ بِكِتَابِكَ وَتَوَكَّلْتُ عَلَيْكَ فَأَرِنِي مِنْ كِتَابِكَ مَا هُوَ الْمَكْتُومُ مِنْ سِرِّكَ الْمَكْنُونِ فِي غَيْبِكَ) وخذ الفال (الاستخارة) من الخط الأول في الجانب الأول (أي: الخط الأول من الجانب الأيمن من القرآن

"Hadis daripada Rasulullah SAW, bahawa beliau berkata: Apabila engkau hendak bertafaul dengan kitab Allah, maka bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali, lalu berselawat tiga kali ke atas Nabi SAW lalu bacalah: 'Wahai Allah, sesungguhnya aku bertafaul dengan kitab-Mu dan aku bertawakal kepada-Mu, maka aku perlihatkanlah aku daripada kitab-Mu apa yang tersembunyi daripada rahsia-Mu yang berharga dalam ilmu ghaib-Mu.' lalu bertafaullah (istikharah) dengan baris pertama daripada bahagian perrama (iaitu baris pertama daripada bahagian kanan daripada Al-Quran yang dibuka)." (Fath Al-Abwab, juz. 3, hal. 310)

.

Kesimpulannya, jauhilah Metode Garpu Tala ini. Ia adalah amalan direka-reka, lebih-lebih lagi perkara ini kelihatannya mirip dengan ajaran Syiah. 

Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan cara istikharah yang betul, dengan melakukan solat dan doa istikharah. Maka, ikutilah sunnah yang diajarkan oleh baginda..

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments