Adakah Setiap Pemikiran, Perkataan, Perasaan Dan Tindakan Semuanya Adalah Doa?

 OLEH: Ustaz Suhili Nain


Soalan: Ada orang mengajarkan bahawa setiap pemikiran, perkataan, perasaan dan tindakan itu semua adalah doa? 

Jawapan: Tidak.

Doa daripada segi bahasa adalah permintaan atau permohonan. Manakala daripada segi istilah permohonan daripada seseorang hamba kepada Tuhan. 

Setiap kali kita berfikir, berkata, beremosi dan bertindak, kita bukan sedang meminta daripada Allah SWT. 

Cuba renungkan, ketika kita runsing memikirkan masalah, adakah kita sebenarnya sedang berdoa supaya Allah SWT besarkan masalah itu? 

Ketika kita sedang berkata dengan seorang rakan melalui panggilan telefon, membaca perkataan dalam artikel ini, adakah bacaan setiap perkataan itu kita sedang bermohon pada Allah SWT? 

Ketika kita sedang berasa bersedih atas kehilangan orang tersayang, adakah kita sedang memohon supaya Allah SWT besarkan kesedihan itu? Ketika kita sedang berjalan, duduk, dan baring, adakah kita sedang meminta kepada Allah SWT?

Ketika kita sedang menulis sesuatu perkataan di atas kertas, adakah kita sedang meminta kepada Allah SWT?

Jelasnya, tidak.

Sekiranya setiap pemikiran, perkataan, perasaan dan tindakan semuanya adalah doa, maka apakah manfaatnya Allah SWT menyeru kita berdoa dalam Al-Quran? Apakah fungsi adab berdoa yang diajarkan oleh Nabi SAW?

Allah SWT berkata:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-A’raf: 55)

Ajaran bahawa setiap pemikiran, perkataan, perasaan dan tindakan itu semua adalah tidak ada beza dengan ajaran Feeling is Prayer yang pernah ditegur oleh Mufti Wilayah pada tahun 2019. 

Rujuk link di bawah:

https://muftiwp.gov.my/.../3698-bayan-linnas-siri-ke-134 

Mentakrifkan bahawa setiap pemikiran, perkataan, perasaan dan tindakan adalah doa adalah tidak benar. Ia bukan takrif Islam terhadap doa. 

Yang jelas takrif tersebut sama dengan apa yang diajarkan dalam Law of Attraction (Hukum Tarikan) yang berasal daripada barat, dicedok daripada falsafah Hindu dan Buddha. 

Law of Attraction tidak ada kaitan dengan ajaran Islam sama sekali, malah ia telah difatwakan sesat oleh ulama Islam. 

Rujuk dalam video di bawah:

https://www.youtube.com/watch?v=5LV1yNPiHtI 

.


=====

Cubaan mengaitkan Law of Attraction dengan ajaran Islam, dengan dalil daripada Al-Quran dan hadis adalah satu kekeliruan. 

Sebagai contoh, ada antara mereka yang mengaitkan Law of Attraction dengan hadis: يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي Allah taala berkata: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku.”

Itu adalah kefahaman yang keliru. Di sini saya bawakan keseluruhan teks hadis tersebut:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ النبي صلى الله عليه وسلم يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً 

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW berkata: Allah SWT berkata: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku sendirian, maka Aku mengingatinya sendiri. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam khalayak ramai, maka Aku mengingatinya dalam khayalak yang lebih baik daripada itu. Sekiranya dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku mendekatinya sehasta. Sekiranya dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku mendekatinya sedepa. Sekiranya dia mendatangi-Ku berjalan, maka Aku mendatanginya dengan berlari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7405, Shahih Muslim, no. 2675)

Fokus hadis ini adalah agar kita bersangka baik kepada Allah SWT, iaitu dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan Allah SWT, dan meyakini bahawa Allah SWT akan membalasnya sekiranya kita ikhlas dan mengikut syariat. 

Ada pun, sangkaan kita sesama manusia, kepada diri sendiri, kepada keadaan adalah tidak termasuk dalam konteks hadis ini. 

Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata: 

“Sebagian ulama mengatakan bahwa maknanya adalah Allah akan memberi ampunan jika hamba meminta ampunan. Allah akan menerima taubat jika hamba bertaubat. Allah akan mengabulkan doa jika hamba meminta. Allah akan beri kecukupan jika hamba meminta kecukupan. Ulama lainnya berkata maknanya adalah berharap pada Allah (raja’) dan meminta ampunannya” (Syarh Shahih Muslim, 17:3).

Dr. Rozaimi hafidzahullah berkata:

“Hadis ini tiada kaitan bersangka baik atau buruk dengan manusia lain. Hadis ini berkaitan bersangka baik dengan Allah.” (Dr. Ustaz Rozaimi Ramle – Hadith, 11 Mac 2016)

Contoh situasi yang tidak termasuk konteks hadis ini:

1. Ketika kita berada di lapangan terbang, lalu ada orang tua yang tidak dikenali menyuruh kita membawa bungkusan hitam menaiki penerbangan tersebut, ke destinasi kita, lalu kita bersangka buruk itu adalah dadah.

2. Kita terlewat bangun untuk solat subuh dan pergi ke kerja, sangkaan kita bahawa jalan pasti akan sesak, kerana pada waktu itu lazimnya sudah banyak kenderaan.

3. Kita sedang berfikir semata-mata hendak makan buah durian.

Tiga situasi tersebut, adalah tidak termasuk dalam konteks hadis ini.

Ada juga yang keliru mengaitkan hadis berikut sebagai hujah bahawa setiap yang kita fikirkan adalah doa. 

Nabi Muhammad SAW berkata: 

اُدْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (At-Tirmidzi, no. 3479, hasan)

Kita jawab, keyakinan dalam konteks hadis ini adalah hanya merujuk keyakinan kepada Allah SWT dalam berdoa. Bukan setiap keyakinan yang ada dalam diri kita kepada sesama makhluk dan pada setiap masa.

Sebagai penutup, saya menasihatkan kepada golongan yang cuba mengaitkan Law of Attraction (Hukum Tarikan) agar tidak bermudah-mudahan mentafsirkan Al-Quran dan hadis untuk dikaitkan dengan ajaran tersebut. 

Ia adalah sesuatu yang berlawanan dengan ajaran Islam. 

Berhentilah mengulas sesuatu perkara dalam agama ini tanpa ilmu.

Para ulama yang arif telah mengeluarkan fatwa yang jelas berkenaan kesesatan ajaran tersebut. Cubaan mengaitkan, menggabungkan ajaran tersebut dengan ajaran Islam akan membawa kepada penyelewengan dan kesesatan.

Wallahu a’lam.

---------

Walaupun setiap perkataan bukan doa, kita tetap perlu menjaga tutur kata. Jauhi dosa lisan yang disenaraikan dalam Al-Quran dan hadis, seperti mengumpat, mencela, memfitnah, berdusta dll. 

Meskipun setiap perkataan seorang ibu bukan doa, tetap sahaja mengucapkan perkataan yang buruk dan kasar kepada anaknya adalah satu perbuatan yang tidak baik.

Seorang anak yang membesar dengan kata-kata kesat setiap hari, kritikan melampau, itu boleh memberi kesan buruk kepada mental anak-anak, akhirnya mereka membesar jadi seorang yang hina diri, kasar dan tidak beradab, malah ada yang mengalami kemurungan apabila dewasa, disebabkan salah didikan semasa kanak-kanak.

Nabi SAW berkata:

وَإِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ 

"Sesungguhnya Allah mengasihi para hamba-Nya yang pengasih." (Shahih Al-Bukhari)

لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

"Allah tidak mengasihi sesiapa yang tidak mengasihi manusia." (Shahih Al-Bukhari)

Wallahu a'lam.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments