Kebaikan Para Salafussoleh

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Kebaikan para Salafussoleh yang disifatkan dalam hadis “sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian generasi selepas mereka”, meliputi kebaikan dari sudut akidah, manhaj, serta akhlak.

Kebaikan dari sudut akhlak itu antara contohnya dapat dilihat menerusi hubungan kekeluargaan mereka. Lihat betapa tingginya akhlak Ummu Al-Darda’ (Al-Sughra) dalam memuliakan suaminya. 

Beliau seorang wanita yang alim, faqih, lagi kuat beribadah. Apabila beliau meriwayatkan hadis daripada suaminya Abu Al-Darda’ R.A, beliau berkata :

حَدَّثَنِي سَيِّدِي

Maksudnya : Tuan ku menyampaikan kepadaku..

Riwayat Muslim (2732)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini, beliau berkata :

فَفِيهِ جَوَازُ تَسْمِيَةِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا سَيِّدَهَا وَتَوْقِيرُهُ

Maksudnya : Pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk seorang isteri itu menamakan suaminya sebagai tuan nya serta memuliakannya (menerusi panggilan tersebut).

Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (17/50)

Antara contoh lain ialah seperti yang ditunjukkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma. Beliau semasa berada di rumah suka memakai pakaian yang cantik dan ia disifatkan sebagai salah satu cara berbuat baik kepada isteri. Kata beliau R.A :

إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَتَزَيَّنَ لِامْرَأَتِي كَمَا أُحِبُّ أَنْ تَتَزَيَّنَ لِي

Maksudnya : Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku.

Rujuk Al-Jāmi’ li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi (5/97).

Benarlah kata para ulama : Semua kebaikan itu adalah pada mengikuti para Salafussoleh.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments