Petua Mendirikan Rumah Kediaman dan Mencari Pasangan?

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

# Percaya kepada kesialan
# Kepercayaan orang dulu-dulu
Orang-orang jahiliah dahulu apabila hendak melakukan sesuatu akan pergi ke sarang burung dan menyergah burung yang ada di dalamnya untuk melihat ke arah mana ia terbang. Sekiranya burung tersebut terbang ke  kanan maka itu adalah petanda kebaikan namun jika ke kiri maka itu petanda kesialan. Jika burung itu terbang ke hadapan maka mereka akan teruskan hasrat mereka tetapi jika ia terbang ke belakang maka mereka akan tangguhkan. 



Amalan ini dinamakan ‘tatayyur’ (atau ‘tiyarah’) iaitu kepercayaan kepada kesialan atau meramalkan nasib sial jika melakukan sesuatu. 

Islam menolak kepercayaan seperti ini dan melarangnya di samping menegaskan bahawa ia merupakan syirik menyekutukan Allah ﷻ. 
Sabda Nabi ﷺ: 
الطِّيَرَةُ شِرْكٌ.
“Percaya kepada kesialan adalah syirik” 
[Hadis sahih. Riwayat Abu Daud]

Nabi ﷺ turut bersabda: 
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَطَيَّرَ.
“Bukan daripada kalangan kami mereka yang percaya kepada kesialan”. 
[Hadis sahih. Riwayat al-Bazzar] 

Tidak dinafikan bahawa ada kalanya seseorang itu ‘rasa tak sedap hati’ terhadap sesuatu sehingga timbul pelbagai sangkaan dan andaian buruk dalam dirinya tanpa sebab. 

Jika tidak dibendung maka akan timbul sikap pesimisme atau kecenderungan memandang sesuatu dari sudut keburukan di samping berfikiran negatif. 

Keadaan ini tentunya akan mengganggu fikiran malah boleh membantutkan pelbagai urusan. 
Maka Muslim diperintahkan supaya menolak perasaan-perasaan ini agar dia tidak terjebak dalam amalan ‘tatayyur’ jahiliah yang akan mendorongnya kepada kesyirikan sekiranya dia meyakini bahawa ‘sesuatu’ itu benar-benar mendatangkan kesialan dan keburukan ke atas dirinya. 

Ini pentingnya sikap tawakal berserah kepada Allah ﷻ dengan sepenuh hati. 
Keadaan ‘rasa tak sedap hati’ boleh ditolak dengan membaca doa di bawah:

اللَّهُمَّ ‌لَا ‌يَأْتِي ‌بِالْحَسَنَاتِ إِلَّا أَنْتَ، وَلَا يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلَّا أَنْتَ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ.
“Ya Allah, tiadalah yang mendatangkan kebaikan dan menolak keburukan kecuali Engkau.  Tiada perubahan dan tiada kekuatan kecuali dengan izin Allah.” 
[Daif. Riwayat Abu Daud, no. 3919]

Justeru kepercayaan kepada unsur-unsur alam; tanah, air, api dan angin dalam membina rumah kediaman atau mencari pasangan untuk berkahwin jelas termasuk dalam kepercayaan kepada kesialan (tatayyur) yang dilarang Agama.



Kepercayan ini adalah khurafat yang membawa kepada syirik. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments