Rasulullah Tidak Membebankan Ummat

OLEH: Ustaz Zulfadhli bin Mohd Razi


Rasulullah SAW adalah manusia yang paling menitikberatkan soal kemampuan umat Baginda apabila mahu melakukan atau memerintah suatu perkara. Biasa kita akan dengar sabda Baginda:

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك مع كل وضوء.

"Kalaulah tidak berat kepada umatku, pasti aku perintahkan kepada mereka agar bersiwak' bersama setiap kali berwudhu'". (Hadith riwayat Malik, Ahmad dan lain-lain)

Juga:

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم أن يؤخروا العشاء إلى ثلث الليل أو نصفه.

"Kalaulah tidak berat kepada umatku, pasti aku perintahkan kepada mereka agar lewatkan Ishak hingga 1/3 malam atau pertengahan malam". (Hadith riwayat Al-Tirmizi)

Anas bin Malik pernah menyebutkan:

ما صليت وراء إمام قط أخف صلاة ولا أتم من النبي صلى الله عليه وسلم.

"Tidaklah saya solat di belakang seorang imam pun yang lebih ringan solatnya dan lebih sempurna berbanding Nabi SAW". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Bahkan, Baginda pernah menegur seorang sahabat yang menjadi imam solat lalu membaca dengan surah yang panjang, sabda Baginda:

يَا مُعَاذُ أَفَتَّانٌ أَنْتَ.

"Wahai Mu'az, apakah kamu mahu menjadi orang yang menimbulkan fitnah?"


Setelah itu Baginda bersabda:

فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ وَالضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ.

"Kerana sesungguhnya yang solat di belakangmu adalah orang tua, orang lemah dan orang yang mempunyai hajat". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Adakalahnya juga Baginda meninggalkan daripada melakukan suatu amalan secara berterusan kerana bimbang ia akan difardhukan kepada umat Baginda. 'Aishah RA pernah menyebutkan:

إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَدَعُ الْعَمَلَ وَهُوَ يُحِبُّ أَنْ يَعْمَلَ بِهِ خَشْيَةَ أَنْ يَعْمَلَ بِهِ النَّاسُ فَيُفْرَضَ عَلَيْهِمْ.

"Rasulullah SAW benar-benar meninggalkan (daripada melakukan secara berterusan) amalan sedangkan Baginda suka melakukannya, kerana bimbang orang ramai melakukannya (secara berterusan) lalu difardhukan kepada mereka". (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Juga banyak contoh-contoh lain yang boleh kita temui dalam hadith-hadith sahih, menunjukkan kepada kita betapa Baginda menjaga kemampuan umat Baginda agar tidak membebankan umat Baginda dalam usaha mengamalkan sunnah Baginda SAW.

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments