Salah Satu Cara Ulama Salaf Menghadapi Fitnah (Ujian) Wanita

OLEH: Abdullah Izzat






Kata al-Imām Aḥmad bin ʿAbd Allāh bin Ṣāliḥ al-ʿIjlī:

Dahulu di Mekah ada seorang wanita yang cantik yang sudah berkahwin. Pada suatu hari, sedang dia mengamati wajahnya di hadapan cermin, dia bertanya kepada suami dia:

“Abang rasa ada tak orang yang tak tergoda bila dia tengok muka [saya] ni”?

Suaminya menjawab: “Ada”.

Dia tanya semula: “Siapa”?

Suaminya menjawab: “ʿUbayd bin ʿUmayr”.

Dia tanya: “Boleh tak izinkan saya untuk bertemu dengan dia”?

Jawab si suami: “Boleh, saya bagi izin”.

Lalu wanita tersebut pun bertemu dengan ʿUbayd berpura-pura untuk meminta fatwa daripada beliau. Jadi mereka pun bertemu di sebuah sudut di Masjid al-Ḥarām. Lalu wanita itu pun mendedahkan wajahnya dan wajahnya itu bersinar bak bulan purnama. 

Lalu ʿUbayd bertanya kepada wanita tersebut: “Wahai hamba Allāh, [apa yang kamu nak tanya]”?

Wanita itu menjawab: “Saya tergoda dengan tuan, tolong penuhi keinginan saya”.

ʿUbayd menjawab: “Saya mahu bertanya kepada kamu beberapa perkara, kalau kamu jawabnya dengan jujur, saya akan penuhi kenginan kamu”.

Wanita itu memberi respons: “Saya akan menjawab kesemua soalan tuan dengan jujur”.

ʿUbayd bertanya: “Beritahu kepada saya kalau Malaikat Maut datang kepada kamu dan dia menggenggam roh kamu, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar”. 

Beliau menyambung lagi: “Kalau kamu dimasukkan ke dalam kubur lalu kamu akan disoal oleh malaikat penyoal kubur, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar”. 

Beliau menyambung: “Kalau [pada masa] orang ramai semua diberikan kitab-kitab [catatan amalan] mereka, dan kamu tidak tahu sama ada kamu akan mengambil kitab [catatan amalan] kamu dengan [tangan] kanan atau kiri kamu, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar”. 

Beliau menyambung: “Kalau kamu mendapati kamu sedang melintasi titian sirat dan kamu tidak tahu sama ada kamu akan melepasinya atau tidak, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar”. 

Beliau menyambung: “Kalau mizan timbangan amal dibawa, dan kamu tidak tahu sama ada amalan yang baik atau yang buruk yang menjadi berat, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar”. 

Beliau menyambung: “Kalau kamu jatuh di antara dua Tangan Allāh kerana masalah ini, adakah kamu akan suka jika saya penuhi hajat kamu [pada waktu itu]”?

Wanita itu menjawab: “Demi Allāh, tak”.

Kata ʿUbayd: “Kamu berkata benar, jadi; kamu takutlah kepada Allāh wahai hamba Allāh. Allāh telah memberikan banyak nikmat kepada kamu serta memperelokkan kamu”.

Lalu wanita tersebut pulang kepada suaminya lalu suaminya bertanya: “Apa dah jadi”?

Wanita itu menjawab: “Selama ni hidup kita ni bazir je”.

Jadi wanita itu pun melazimi solat, puasa dan ibadah-ibadah [yang lain], sehinggakan suaminya berkata: “Apa lah yang ʿUbayd bin ʿUmayr buat kat saya ni? Dulu isteri saya ni tiap-tiap malam macam pengantin, tapi ʿUbayd dah ubah dia jadi biarawati”.


Nota:

ʿUbayd bin ʿUmayr bin Qatādah al-Laythī merupakan seorang ulama generasi tābiʿīn dan seorang ahli tafsir yang hebat. Beliau dilahirkan ketika Rasūlullāh masih lagi hidup. Para guru beliau adalah para sahabat yang hebat – semoga Allāh meredai mereka semua – seperti ʿUmar al-Khaṭṭāb, ʿAlī bin Abī Ṭālib, Abū Dharr, ʿĀʾishah bint Abū Bakr, Abū Mūsā al-Ashʿarī, ibn ʿAbbās dan lain-lain. Anak-anak murid beliau pun hebat-hebat belaka, antaranya termasuklah ʿAṭāʾ bin Abī Rabāḥ, ibn Abī Mulaykah, ʿAmr bin Dīnār dan ramai lagi para salaf yang hebat.

Beliau merupakan seorang ulama yang sangat hebat dan berautoriti di Mekah sampaikan ʿAbd Allāh bin ʿUmar pun menghadiri majlis ilmu beliau.

Lihat:

al-ʿIjlī, Aḥmad bin ʿAbd Allāh, Tārīkh al-Thiqāt, h. 322-323 taḥqīq: Dr. ʿAbd al-Muʿṭī Qalʿajī. Cetakan pertama. Bayrūt: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1405H/1984M.

al-Dhahabī, Muḥammad bin Aḥmad, Siyar Aʿlām al-Nubalāʾ, j. 4, h. 156-157, taḥqīq: Shuʿayb al-Arnāʾūṭ dan rakan-rakan. Cetakan pertama. Bayrūt: Muʾassasat al-Risālah, 1403H/1983M. 

Penafian:

Terjemahan saya agak bebas kali ini.

Comments