OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Dalam 99 Usūl Dirāyah, disenaraikan salah satu tanda untuk mengecam kepalsuan hadis adalah dengan melihat kepada rakākah, iaitu kecanggungan lafaznya. Penyusunnya mencontohkan hadis berikut:
لولاك لما خلقت الأفلاك.
"Kalau bukan kerana engkau (Muhammad) tentu aku tidak menciptakan alam."
Hujahnya, penggunaan lawlā-ka tidak tepat – atau kurang fasih – dalam bahasa Arab. Yang tepat adalah “lawlā anta” sebagaimana yang digunakan dalam ucapan para sahabat, “lawlā anta ma ihtidatay-nā”. Sebenarnya, yang disebutkan oleh beliau ini asasnya pendapat al-Mubarrad (285 H), dan pendapat tersebut ditolak oleh jumhur ahli nahu. Antara mereka, Abū al-Barakāt al-Anbārī (577 H) yang mengatakan:
وأما مجيء الضمير المنفصل بعده نحو "لولا أنا ولولا أنت" كما قال تعالى: {لَوْلا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ} [سبأ: 31] فلا خلاف أنه أكثر في كلامهم وأفصح، وعدم مجيء الضمير المتصل في التنزيل لا يدل على عدم جوازه، ألا ترى أنه لم يأتِ في التنزيل ترك عمل "ما" في المبتدأ والخبر نحو "ما زيد قائم، وما عمرو منطلق" وإن كانت لغة جائزة فصيحة، وهي لغة بني تميم.
“Adapun datangnya ḍamīr munfaṣil (kata nama secara terpisah) selepasnya seperti “lawlā anā” dan “lawlā anta” sebagaimana firman Allah taala, “lawlā antum sudah tentu kami semua sudah menjadi orang beriman,” maka tiada khilaf bahawa ini yang paling banyak dalam kata-kata mereka dan lebih fasih. Dan ketiadaannya dalam al-Quran tidak menunjukkan bahawa ia tidak harus. Kamu lihat tiada dalam al-Quran amalan “mā” pada mubtada’ dan khabar seperti “mā Zayd qā’im” dan “mā ‘Amr munṭaliq” ditinggalkan meskipun ia adalah lughah yang harus lagi fasih, dan ia adalah lughah Banī Tamīm…”
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hadis tadi tidak lagi layak dihukum palsu. Hal ini kerana kepalsuannya sabit melalui kaedah-kaedah lain yang diguna pakai oleh ahli hadis yang mendorong al-Ṣaghānī, al-‘Ajlūnī, Mullā ‘Alī al-Qārī, dan lain-lain tanpa teragak-agak menghukumnya palsu atau pada hukum palsu. Kata Syeikh al-Laknawī:
فكم من أحاديث اشتهرت على ألسنة العامة أو سطرت في كتب المتفقهة ولا أصل لها في الشريعة – بل هي موضوعة أو ضعيفة ساقطة - كحديث (لولاك لما خلقت الأفلاك)...
“Berapa banyak hadis yang terkenal di lidah orang awam dan ditulis dalam kitab-kitab mutafaqqihah sedangkan ia tiada asalnya dalam syariat – bahkan palsu atau ḍa‘īf lagi sāqiṭ - seperti hadis “lawlā-ka la-mā khalaq-tu al-aflāk”...”
Namun, malangnya ungkapan ini diterima oleh ramai pihak baik selaku hadis atau sebagai sebuah ungkapan yang benar. Tok Guru kita sendiri pernah mengatakan:
“...Sepertimana yang kita semua tau, di antara gelaran yang diberikan kepada Nabi kita Muhammad SAW ialah gelaran "Nabi Lawlā-k", "Nabi Lawlāka", iaitu putusan atau singkatan daripada perkataan "lawlaka mā khalaq-tu al-aflāk" - kalau tidaklah keranamu wahai Muhammad, maka langit, bumi, seluruh itu tidak wujud di muka dunia. Langit dan bumi yang kita anggap besar dan berharga ini wujud, kerana Allah ada cadangan lahirkan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman. Dengan erti kalau tidak adalah cadangan untuk melahirkan Nabi Muhammad, maka kita pun tak ada, langit-bumi sebagai tempat tinggal kita ni pun tidak wujud. Jadi oleh yang demikian, apa sahaja cakapan, apa saja perbahasan, apa saja kajian yang kita orang Islam buat, patutnya mesti berkisar dan berkerumun di keliling wujudnya Nabi Muhammad SAW di muka dunia. Kepada yang tidak sedar benda inilah, selalunya timbul dan menimbulkan masalah-masalah, yang satunya bercakap, berkira, bertindak, beralasan kepada wujudnya Nabi Muhammad, manakala yang satu puak lagi bercakap, berkira, bertindak, berdasar kepada wujudnya mereka masing-masing, wujudnya langit dan bumi dan mereka, tanpa mengira dan tanpa mengingati paksi sebenar langit dan bumi iaitu Nabi Muhammad SAW .....”
Wallahualam.

Comments
Post a Comment