Dilarang Membaca Surah al-Masad?

  OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Inilah yang amat merisaukan kita. Natijah dari perbuatan penceramah yang menyebar kenyataan yang menyebabkan masyarakat menjadi keliru.

2- Apabila ada penceramah yang menyebar kononnya tidak boleh membaca Surah al-Masad di dalam solat, kerana di dalamnya terdapat celaan terhadap Abu Lahab. Abu Lahab merupa bapa saudara Rasulullah SAW, justeru pembacaan surah ini akan menyakiti jiwa Rasulullah SAW.

3- Maka selepas ini, jika ada imam solat yang membaca Surah al-Masad di dalam solat, mereka boleh dituduh sebagai “tidak cukup ilmu”, “tidak beradab dengan Rasulullah”, “bodoh”, dan seumpamanya,

4- Sedangkan Allah SWT sendiri berfirman :

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ

Maksudnya : Maka bacalah (di dalam solat) apa yang mudah daripadanya (iaitu daripada bacaan ayat-ayat al-Quran).

Surah al-Muzzammil (20).

5- Maka berdasarkan ayat ini, apa sahaja surah atau ayat, selama ia daripada al-Quran, ia boleh dibaca di dalam solat mahupun di luar solat, termasuklah Surah al-Masad itu sendiri.

6- Demikian juga ketika Rasulullah SAW mengajarkan tatacara solat yang tepat kepada seorang lelaki, Baginda bersabda kepadanya :

وَاقْرَأْ بِمَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya : Dan bacalah apa-apa yang mudah (iaitu apa yang kamu telah hafal) daripada Al-Quran.

Riwayat al-Bukhari (6667).

7- Tambahan pula, tidak terdapat sebarang larangan yang tsabit dan sahih daripada Rasulullah SAW, untuk seseorang itu membaca Surah al-Masad di dalam solat. Tidaklah kita berhajat mendahului Nabi dengan melarang apa yang Baginda tidak larang.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ

Maksudnya : Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya.

Al-Hujurat (1)

Allah SWT tidak melarang pembacaan Al-Masad di dalam solat, Rasulullah SAW juga tidak melarangnya, mengapa kita pula ingin melarang ?

8- Bahkan seorang ulama besar Al-Azhar al-Syarif, Al-‘Allamah al-Syeikh ‘Atiyyah Saqar rahimahullah dalam fatwanya berkenaan isu ini menyebut :

لم يرد دليل يمنع قراءة المسد في الصلاة  فالقرآن كله كلام الله يتلى في كل حين ، سواء كان داخل الصلاة أم خارجها ، وعاطفة بعض الناس التي تقول إن الرسول صلى الله عليه وسلم يتأذى من قراءتها لأنها في حق عمه أبي لهب - عاطفة لا وزن لها أبدا

Maksudnya : Tidak terdapat sebarang dalil yang menghalang pembacaan Surah al-Masad di dalam solat. Al Quran keseluruhannya merupakan kalamullah yang dibaca pada setiap masa. Sama ada dibaca di dalam solat mahupun di luar solat. Perasaan/emosi sebahagian manusia yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tersakiti menerusi pembacaan surah ini kerana ia melibatkan bapa saudaranya Abu Lahab, merupakan perasaan yang langsung tidak ada nilaian padanya.

9- Ramai yang terlepas pandang. Antara akhlak paling besar bagi seorang muslim dalam beragama ialah, dia beragama berdasarkan panduan wahyu dari Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. 

Dia menyuruh atas panduan wahyu. Dia melarang juga atas suluhan wahyu. Dia sama sekali tidak akan bercakap tentang agama tanpa ilmu, menurut hawa nafsu, atau semata emosi dan perasaan yang lekang dari petunjuk wahyu.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments