Pelajar Universiti Islam Membersihkan Kuil!?

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman.


PELAJAR UNIVERSITI ISLAM MEMBERSIHKAN KUIL? 


# Bandingkan dengan gotong-royong membersihkan kandang ‘ba alif ba ya’


Satu perkembangan baharu sedang berlaku dalam negara yang sepatutnya membimbangkan kita semua apabila sekumpulan pelajar Muslim tanah air telah melancarkan inisiatif untuk membersihkan sebuah kuil yang terkesan dengan banjir besar yang berlaku baru-baru ini.   


https://www.facebook.com/211591442051/posts/10160161864202052/ 


Perbuatan mereka salah dan bertentangan dengan Islam. 


Akidah Islam menuntut supaya setiap Muslim berlepas diri daripada semua hal syirik bukan sahaja dalam kepercayaan malah dalam tutur kata dan perbuatan selari dengan kalimah syahadah Lailahaillallah yang merupakan kesaksian dan penafian bahawa tiada sembahan yang benar kecuali Allah ﷻ dan segala sembahan selain Allah ﷻ adalah batil dan tertolak. 


Tempat-tempat seperti kuil, gereja dan sinagog jelas merupakan tempat-tempat syirik di mana Allah ﷻ disekutukan dengan sembahan-sembahan lain yang mengundang kemurkaan serta kebencian Allah ﷻ sehinggakan orangnya diancam dengan azab seksa api neraka dan akan terus kekal terseksa di dalamnya buat selama-lamanya jika dia mati dalam keadaan sedemikian dan tidak bertaubat daripadanya. 


Firman Allah ﷻ: 


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa pun) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang (paling) besar.”


[an-Nisa’, 04:48]


Firman Allah ﷻ: 


“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah al-Masih Ibni Maryam”. Padahal al-Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Dan barang siapa mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka sesungguhnya Allah haramkan atasnya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim."


[al-Maa’idah, 05:72]


Ramai mungkin tidak sedar akan bahaya syirik sehingga keliru menyangka bahawa keimanan itu hanya terletak dalam hati manakala amal perbuatan tidak mengkin menggugatnya. 


Sedangkan pengertian iman di sisi Ahli Sunah Wal Jemaah ialah keyakinan dalam hati, ucapan pada lisan dan amalan dengan anggota badan. Ia boleh bertambah dan berkurang. Bertambah dengan amalan ketaatan dan berkurang dengan perbuatan-perbuatan maksiat. 


Ini bermakna keimanan bukanlah sekadar perakuan dalam hati. Malah tafsiran sebegini merupakan pegangan kelompok Murjiah yang disesatkan oleh para ulama sejak dahulu. 


Dari sudut lain, pastinya kelab-kelab malam dan tempat-tempat perjudian turut terkesan dengan banjir besar ini. 


Tetapi jika Muslim mengadakan acara gotong-royong membersihkan tempat-tempat ini ramai akan membantah dan merasa tidak senang. Memang patut pun. 


Apatah lagi jika ada yang mencadangkan supaya dibersihkan kandang-kandang ‘ba alif ba ya’ (khinzir) yang tentunya turut terkesan dengan banjir. Ramai akan mengamuk dan membantah atas alasan  maksiat, najis dan sebagainya. 


Perlu ditegaskan bahawa kemaksiatan dan kenajisan syirik jauh berkali-kali ganda lebih berat dan bahaya berbanding arak, judi dan ‘ba alif ba ya’ (nak menulis perkataannya pun sudah rasa tidak senang). 


Justeru sepatutnya tempat-tempat syirik seperti kuil dijauhi, bukan didekati. Apatah lagi mahu dibersihkan. 


Membersihkannya walaupun secara samak tidak akan menghilangkan kenajisan berat syirik di tempat-tempat ini. 


Toleransi dan menjaga perhubungan antara masyarakat digalakkan tetapi jangan sampai melanggar batasan Agama dan menggadaikan akidah. 


Program Pelajar Melayu Muslim di Kuil tahun 2019: 


https://www.facebook.com/1588241794/posts/10217329039329820/ 


Idris bin Sulaiman 

Kajang 

23 Jamadilakhir 1443H /

28 Disember 2021 




Comments