Ziarah Kubur Waktu Malam.

OLEH: Abu Aqif.


*Ziarah Kubur Waktu Malam*


Aisyah berkata, "Mahukah kalian aku ceritakan hadis dariku dan dari Rasulullah ﷺ?"


Kami menjawab, "Ya, mahu."


Aisyah berkata; Pada suatu malam ketika giliran Rasulullah ﷺ di rumahku, setelah baginda menanggalkan pakaiannya, meletakkan alas kaki dan membentangkan hujung jubahnya di atas katil, baginda lantas berbaring.


Setelah beberapa lama kemudian dan barangkali baginda menyangkaku telah tidur, baginda mengambil baju dan alas kakinya, dibukanya pintu perlahan-lahan dan kemudian ditutupnya kembali perlahan-lahan.


Menyaksikan baginda seperti itu, kukenakan juga bajuku dan kututup kepalaku dengan kain, kemudian aku mengikuti baginda dari belakang hingga sampai di (perkuburan) Baqi'.


https://www.facebook.com/abdulrahmanabdollah/posts/3058608371077616


Ketika sampai di sana baginda berdiri agak lama, kemudian baginda mengangkat kedua tangannya tiga kali, sesudah itu baginda pulang.


Aku juga bergegas pulang mendahului baginda. Kalau baginda berjalan cepat, aku pun berjalan cepat-cepat. Bila baginda berlari kecil, aku pun demikian.


Ketika baginda sampai, aku pun sudah sampai lebih dulu dari baginda. Kemudian aku masuk ke dalam rumah dan terus baring.


Setelah itu, baginda masuk dan bertanya, "Kenapa kamu wahai Aisyah? Kudengar nafasmu termengah-mengah?"


Jawabku, "Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah?"


Baginda berkata, "Ceritakanlah kepadaku atau kalau tidak Allah -Yang Maha Lembut dan Mengetahui- akan menceritakannya padaku."


Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, demi bapa dan ibuku."


Lalu kuceritakanlah kepada baginda apa yang sebenarnya terjadi.


Baginda berkata, "Kalau begitu, kamulah kiranya bayangan hitam yang saya lihat di depanku tadi?"


Saya menjawab, "Ya, benar wahai Rasulullah."


Maka baginda pun menolak dadaku dengan kuat hingga terasa sakit bagiku. Kemudian baginda berkata, "Apakah kamu masih curiga, Allah dan rasul-Nya akan berbuat curang kepadamu?"


Jawabku, "Setiap apa yang dirahsiakan manusia, pasti Allah mengetahuinya juga."


Kemudian Rasulullah ﷺ menceritakan kenapa baginda sampai keluar. Baginda bercerita, "Tadi Jibril datang, tapi kerana dia melihat ada kamu, dia memanggilku perlahan-lahan sehingga tidak terdengar olehmu. Aku menjawab panggilannya tanpa terdengar juga olehmu. Dia tidak masuk ke rumah, kerana kamu menanggalkan pakaianmu. Dan aku pun menyangka bahawa kamu telah tidur, kerana itu aku keberatan membangunkanmu khuatir engkau akan merasa kesepian.


Jibril berkata padaku, 'Allah memerintahkan agar Baginda datang ke Baqi' dan memohonkan ampunan bagi para penghuninya.'


Aku berkata, 'Lalu apa yang kubaca sesampai di sana wahai Rasulullah?'


Jibril menjawab, 'Bacalah: AS SALAAMU 'ALA AHLID DIYAAR MINAL MUKMINIIN WAL MUSLIMIIN WA YARHAMULLAHUL MUSTAQDIMIIN MINNAA WAL MUSTAKHIRIIN WA INNAA INSYAAALLAHU BIKUM LAAHIQUUN (Semoga keselamatan tercurah bagi penduduk kampung orang-orang mukmin dan muslim ini. Dan semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang yang telah mendahului kami dan orang-orang kemudian, dan kami insya Allah akan menyusul kalian semua).'" [HR. Muslim, no. 1619].


*10 kupasan ringkas:*


1. Aisyah adalah manusia mulia yang juga manusia biasa, punyai perasaan cemburu seperti wanita-wanita normal yang lain.


2. Tiada waktu istimewa ziarah kubur. Nabi pernah ziarah waktu siang dan juga malam. Maka, sunnah ziarah kubur waktu malam selain waktu siang.


3. Sunnah ziarah kubur sendirian. Lebih mendatangkan keinsafan, lebih fokus.


4. Sunnah doa ketika waktu masuk atau melalui kawasan perkuburan. Doanya,


السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ


ASSALAMU ’ALAIKUM AHLAD-DIYAAR MINAL MU’MINIIN WAL MUSLIM, WA INNA INSYAA ALLOOHU BIKUM LA-LAAHIQUUN, WA AS-ALULLOOHA LANAA WALAKUMUL ‘AAFIYAH.


“Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, dari (golongan) orang-orang beriman dan orang-orang Islam. Kami insya Allah akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian.”


5. Sunnah mengangkat tangan ketika mendoakan ahli kubur.


6. Sunnah mendoakan tiga kali kepada ahli kubur.


7. Boleh menceritakan hal dalaman keluarga yang baik-baik sahaja jika ianya memberikan ilmu dan manfaat. Tidak boleh jika ianya hal-hal yang mengaibkan.


Rasulullah ﷺ bersabda,


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ، الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ، وَتُفْضِي إِلَيْهِ، ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا


"Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seseorang yang menyetubuhi isterinya dan isteri bersetubuh dengan suaminya, kemudian suami menyebarkan rahsia isterinya." [HR. Muslim no. 1437].


8. Ziarah kubur tidak semestinya kubur ibu bapa. Boleh sahaja ziarah kubur selain ahli keluarga.


9. Penjelasan atas sesuatu perkara boleh atau perlu diberikan bagi mengelak salah faham atau fitnah.


10. Kewajipan menuntut ilmu Agama terletak di bahu semua umat Islam termasuk wanita sebagaimana Aisyah mempelajari doa di atas dari suaminya, Nabi ﷺ. Bukan sekadar cemburu buta.


Kredit:

1. Lidwa

2. rumaysho.com

3. muslim.or.id




Comments