Cinta Dan Benci Itu...

OLEH: Mukhtaruddin Sahid.

"Saya tak dapat bayangkan bagaimana pemuda-pemuda dari parti Amanah, atau PKR, atau DAP bertungkus lumus menyusun kerusi, mengemas peralatan dan membersihkan lantai PWTC sempena Perhimpunan Agung UMNO atau Muktamar Tahunan PAS di Taman Melewar yang akan tiba. Sudah tentu suasananya penuh 'muhibbah dan harmoni', selayaknya dengan slogan 'Keluarga Malaysia'. Kan??"

PARTI PUN ADA DISIPLIN

Saya rasa, tidak ada diantara pemuda-pemuda parti diatas ingin hadir ke majlis-majlis sedemikian. Ini kerana, seorang ahli parti terikat dengan disiplin parti. Mana-mana parti politik pun tidak akan membenarkan ahlinya hadir dalam majlis anjuran politik lawan tanpa sebab yang munasabah. Sekiranya ia dilakukan, mereka akan dihantar notis oleh Lembaga disiplin dan diminta surat tunjuk sebab. Sekiranya gagal, mereka akan dipecat dari parti.

Namun, dalam kes diatas, jika parti tidak melarang sekalipun dalam perlembagaan mereka, saya tidak rasa mereka dengan sukarela akan pergi ke majlis-majlis parti lawan sedemikian. Tentu mereka akan rasa 'jijik' menjejakkan kaki ke tempat dimana 'parti rasuah paling korup' atau 'parti pak lebai penunggang agama' akan bersidang membincangkan bagaimana mengkayakan tembolok sendiri sambil menunggang isu agama dan bangsa. Kerana apa? Kerana prinsip dan maruah perjuangan.

Demikian perbandingannya, jika umat Islam membersihkan tempat ibadat orang lain.

AL WALA- WAL BARA'

Demikianlah, Allah jadikan dalam agamaNya wujudnya al-wala' wal bara'. Salah satu dari prinsip ‘aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah, iaitu mencintai dan memberikan wala’ (kesetiaan) kepada kaum Mukminin, membenci kaum musyrikin dan orang-orang kafir serta berpaling (bara’) dari mereka.

Al-Wala’ dalam bahasa Arab mempunyai beberapa maksud, antara lain; mencintai, menolong, mengikuti dan mendekat kepada sesuatu. Selanjutnya, kata al-muwaalaah (الْمُوَالاَةُ) adalah lawan kata dari al-mu’aadaah(الْمُعَادَاةُ) atau al-‘adawaah (الْعَدَوَاةُ) yang bererti permusuhan. Dan kata al-wali (الْوَلِى) adalah lawan kata dari al-‘aduww (الْعَدُوُّ) yang bererti musuh. Kata ini juga digunakan untuk makna memantau, mengikuti, dan berpaling. Jadi, ia merupakan kata yang mengandung dua erti yang saling berlawanan.

Dalam terminologi syari’at Islam, al-Wala’ bererti penyesuaian diri seorang hamba terhadap apa yang dicintai dan diredhai Allah berupa perkataan, perbuatan, kepercayaan, dan orang yang melakukannya. Jadi ciri utama wali Allah adalah mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah, ia condong dan melakukan semua itu dengan penuh komitmen. Dan mencintai orang yang dicintai Allah, seperti seorang mukmin, serta membenci orang yang dibenci Allah, seperti orang kafir.

Sedangkan kata al-bara’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak maksud, antara lain menjauhi, membersihkan diri, melepaskan diri dan memusuhi. Kata bari-a (بَرِيءَ) bererti membebaskan diri dengan melaksanakan kewajibannya terhadap orang lain.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ “(Inilah pernyataan) pemutusan hubungan dari Allah dan Rasul-Nya.” [At-Taubah: 1]

Maksudnya, membebaskan diri dengan peringatan tersebut. Dalam terminologi syari’at Islam, al-bara’ bererti penyesuaian diri seorang hamba terhadap apa yang dibenci dan dimurkai Allah berupa perkataan, perbuatan, keyakinan dan kepercayaan serta orang. Jadi, ciri utama al-Bara’ adalah membenci apa yang di-benci Allah secara terus-menerus dan penuh komitmen. Maka, cakupan makna al-wala’ adalah apa yang dicintai Allah, sedangkan cakupan makna al-bara’ adalah apa yang dibenci Allah.[1]

ALASAN DAKWAH & TOLERANSI

Ini agak kelakar, jika alasan dakwah dan muhibbah, mengapa mereka tidak berdakwah dengan cara yang sama seperti diatas? Mengapa mereka tidak 'mendakwahkan' parti mereka dengan cara terlibat dalam membersih atau memberi bantuan tenaga kepada markas parti lawan? Bukankah itu langkah dakwah yang baik? Mana tahu lawan parti akan terpaut dengan keindahan akhlak kita sekaligus membuka hati parti lawan untuk menyertai parti kita?

Bukankah sokongan dan tekad kita kepada parti kita sama sekali tidak tergugat atau berpaling tadah? Kita hanya hadir memberi bantuan, meraikan kepelbagaian parti sekaligus mengiktiraf ruang demokrasi yang ada dalam negara kita?? Bukankah ini bentuk toleransi dan tolak ansur yang positif??

Tak usah bicara toleransi, jika mereka sendiri tidak berani meraikan kepelbagaian parti yang ada. Beranikah mereka mengatakan, undilah siapapun, semua parti menuju matlamat yang baik, ada banyak jalan namun kita semua menuju kebaikan yang satu??

Jika hal urusan kehidupan dunia pun tidak berani berkompromi seolah jalan yang ada hanya hitam dan putih, tak usah berangan nak bicara soal kehidupan selepas mati.

Tabi'e dalam politik moden, merekalah yang paling benar, anda undi kami anda diatas kebenaran, dan undi kepada pihak lain hanya menggelapkan dan merosakkan masa depan negara.

Mereka ini tidak segan silu menghina lawan politik mereka. Lihat saja penghinaan dan tohmahan pada musuh politik mereka...Pada mereka ini, apakah agama saja merupakan sesuatu yang sensitif? Apakah maruah dan aib manusia bukan merupakan sesuatu yang sensitif dan patut dihormati??

ALASAN MENGGUGAT KEHARMONIAN KAUM

Demikian juga, sebahagian dari golongan non-muslim yang tidak senang dengan teguran agamawan keatas pelajar islam yang membersihkan kuil, dengan anggapan tindakan sedemikian akan menggugat keharmonian dan mencetus ketidakstabilan dalam masyarakat berbilang kaum.

Saya jawab, dah lama keharmonian kaum dan ketidakstabilan dalam masyarakat terjejas akibat politik. Lihat saja peristiwa rusuhan 16 mei antara orang melayu dan cina?? Apakah ia disebabkan oleh agama atau politik?? Semua tahu jawapannya.

Semua masih ingat dengan huru hara dalam perhimpunan Bersih. Perhimpunan yang kononnya menuntut pilihanraya Bersih, bertukar menjadi ganas. Lihat saja Bersih 3.0, apabila kereta polis diterbalikkan. Insiden memijak gambar beberapa pemimpin tertentu, jelas adalah hasutan kebencian yang boleh menimbulkan ketegangan dan huru hara dalam masyarakat.

Demikian juga demontrasi ketika Menteri Besar Perak dijatuhkan. Ada yang terbaring di jalanraya. Memprotes istana secara terang-terangan. Bukankah ini satu bentuk penentangan nyata kepada pemerintah dan menghasut rakyat untuk menentang pemerintah. Semua ini boleh menimbulkan ketidak tenteraman dalam masyarakat.

Hari ini, malangnya, pihak itu kini melakukan kerja yang sama dengan apa yang pernah lawan politik mereka lakukan satu masa dahulu.

Demikian sedikit sebanyak contoh bagaimana politik sebenarnya telah banyak menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

KESIMPULAN

Walhasil, kita dapati, tidak ada kebimbangan atau ketidakharmonian diantara kaum hanya kerana seorang muslim dengan tegas mempertahankan prinsip agamanya.

Namun sebaliknya kita dapati, tidak sedikit peristiwa ketegangan dan ketidakharmonian dalam masyarakat baik didalam mahupun diluar negara, berpunca daripada sikap yang sentiasa merasakan PARTI POLITIKNYALAH YANG PALING BENAR DAN LAWAN POLITIK MEREKA SEMUA SALAH.

1] Al-Wala' wal Bara' - Almanhaj.or.id



Comments