Talfiq Mazhab?

OLEH: Lukhman Abdul Taib.

1. Talfiq mazhab, kalau dibuat secara berlebihan, ia membawa kepada tatabbu‘ al-rukhaṣ, iaitu mencari-cari keringanan. Memang betul agama ini mudah, tetapi bukan bermakna kita boleh bermudah-mudahan. 

Awak mengabdikan diri kepada Allah, maka seharusnya ta‘abbud itu dibuat dengan iḥsān. Bermudah-mudahan dalam agama berlawanan dengan konsep iḥsān di dalam ibadah.

2. Para ulama memberikan penekanan belajar secara bermazhab kerana ia merupakan cara yang teratur dan sistematik dalam memahami dalil. 

Dan inilah titik pembeza utama dengan fiqh sunnah, di mana berlaku kecelaruan dalam metodologi dan usul istidlāl. Kaedah memahami dalil berbeza-beza di antara satu isu dengan isu lain.

Sedangkan, apabila seseorang belajar fiqh menerusi satu mazhab, kesemua perkara yang kita pelajari itu berdiri di atas satu usul dan metodologi. Meskipun dalam beberapa perkara fuqaha sesama mazhab menatijahkan fatwa yang mungkin berbeza, semuanya itu berdiri di atas suatu foundation yang kukuh.

3. Tidak belajar menerusi mazhab jauh lebih bahaya dari taksub mazhab.

4. Saya bukanlah alim dalam mazhab, juga bukan penuntut mazhab. Saya hanya bertaqlid kepada para asatizah yang saya yakini keilmuan dan manhaj mereka. Benda-benda yang saya sebutkan di atas bukanlah idea saya sendiri, hanya sekadar menukil kata-kata mereka.

Poinnya, awak belajar fiqh sunnah jangan sangka anda sudah bebas dari taqlid. Awak sebenarnya terjerumus dalam taqlid bentuk lain, iaitu taqlid dengan ustaz yang anda taksub.

5. Benda yang kita sendiri tidak ada ilmu berkenaannya, jangan main sedap saja tulis. Orang jahil akan rasa takjub, tapi orang yang tahu akan rasa yang menulis itu jahil.



Comments