Kita Sememangnya Adalah Pendakwah.

OLEH: Zulfikar Egar.

Ada satu kata-kata yang disandarkan atau dinisbahkan kepada Imam Hassan Al-Basri iaitu;

"Barangsiapa yang berkata 'La ilaha illallah' maka dia adalah pendakwah.

Walaupun ungkapan ini bukanlah hadis mahupaun ayat al-Quran, namun ia ada asasnya.

Di mana setiap individu Muslim itu perlu berdakwah atau menyampaikan ajaran Islam di mana saja dia berada dan walaupun siapakah dia.

Dan sudah tentunya mengikut kapasiti atau kadar ilmu pada diri masing-masing. 

Yakni tak semestinya perlu berdakwah di meja penceramah dengan menjadi ustaz mahupun ustazah. Ataupun menjadi pengarang kitab berjilid-jilid. 

Baik, mengapa dikatakan setiap Muslim itu adalah pendakwah?

Dalam al-Quran ada banyak tempat atau ayat yang mengatakan bahawa kita ini umat Islam adalah pendakwah.

Dan bila disebut perkataan 'dakwah' ini, maknanya kita umat Islam kena melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yakni mencegah kemungkaran.

Antara ayat dalam al-Quran yang Allah Ta'ala sebut dan iktiraf kita sebagai pendakwah contohnya seperti dalam Surah Ali `Imran ayat 110 yang Allah Subhana Wa Ta'ala berfirman;

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahlu al-Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”

Ditambah lagi dalam surah Fussilat ayat 33 Di mana Allah Subhana Wa Ta'ala berfirman;

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Kedua-dua ayat ini memberi gambaran bahawa kita sebagai muslim sememangnya kerja kita adalah mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ada satu hadis yang mana baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menyebut;

"Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya (ada yang mentafsir sebagai kuasa). Jika tidak mampu dengan lidahnya (lisan). Jika tidak mampu, (maka ubahlah) dengan hati (merasa tak suka dan rasa benci kepada perkara mungkar). Itulah Iman yang paling lemah". [HR. Muslim]

Ayat al-Quran dan hadis di atas mengesahkan bahawasanya, sama ada seseorang itu ustaz ke, ustazah ke, peguam ke, usahawan ke, arkitek ke, anggota pasukan keselamatan ke, wartawan ke atau sesiapa saja jua. Kita sememangnya adalah pendakwah.

Asalkan kita mengajak orang berbuat baik, itu adalah dakwah. Ada orang buat benda tak baik lalu kita tegur dia, itu pun juga adalah dakwah.

Apatah lagi mengajak orang mengenal sunnah dan menyeru kepada tauhid.

Dan sudah semestinya bila berdakwah itu hendaklah mengikut kemampuan kita dan juga kadar ilmu yang kita miliki.

Usah mentafsir hadis mahupun al-Quran dengan mengikut pemikiran sendiri yang pada masa yang sama, tak mendalami pun kelas pengajian al-Quran dan hadis secara khusus.

Wallahualam.

- Zulfikar Egar



Comments