Mereka Yang Sibuk Dengan Mimpi.

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman.

MEREKA YANG SIBUK DENGAN MIMPI

Sumber agama Islam ialah Al-Quran dan hadis. 

Ini yang disepakati oleh sekalian ulama Ahli Sunah Wal Jemaah sejak dahulu. 

Adapun mimpi maka ia sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk beramal. Mimpi bukanlah hujah ataupun bukti. 

Hanya sahaja hal ini berbeza bagi para Nabi.

Mimpi para nabi adalah wahyu.

Firman Allah ﷻ:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insyaallah, ayah akan mendapati daku daripada kalangan orang-orang yang sabar".

[Al-Quran, as-Saffaat, 37: 102]

Adapun bagi manusia biasa, mimpi mereka hanyalah mimpi. Tidak lebih daripada itu. Dan ia boleh dibahagikan kepada tiga: 

1. Mimpi baik. Ia adalah khabar gembira daripada Allah ﷻ; 

2. Mimpi buruk. Ia merupakan gangguan daripada syaitan; dan

3. Mimpi biasa. Ia datang daripada bisikan hati. 

Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 

“Mimpi itu tiga; khabar gembira daripada Allah, bicara hati dan ketakutan daripada syaitan. Barang siapa melihat sesuatu yang disukainya (mimpi baik) maka dia boleh menceritakannya (kepada orang lain) jika dia mahu dan barang siapa melihat sesuatu yang tidak disukainya (mimpi buruk) maka janganlah dia menceritakannya kepada sesiapa. Sebaliknya hendaklah dia bangkit dan solat.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

Justeru ulama besar zaman tabiin, Muhammad bin Sirin (wafat 110H) berkata: 

اتَّقِ اللهَ فِي اليَقَظَةِ وَلَا تُبَالِ بِمَا رَأيْتَ فِي المنَامِ.

“Bertakwalah kepada Allah ketika engkau dalam keadaan jaga dan usah engkau peduli dengan apa yang engkau lihat semasa tidur.” 

[az-Zuhd oleh Ahmad bin Hanbal]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan perlindungan. 

Idris bin Sulaiman 
Kajang 
05 Rajab 1443H /
07 Februari 2022 



Comments