Perihal Wahabi... (Siri 1)

OLEH: Dr Fadlan Mohd Othman.

Perihal Wahabi... (Siri 1)

Siapakah wahabi?

Mutakhir ini, semakin kerap disebut perkataan ‘Wahabi’. Mungkin ada yang pernah dengar perkataan ini, mungkin juga ada yang pertama kali dengar. Polemik ‘Wahabi’ ini semakin hari semakin rancak. Label atau gelaran ‘Wahabi’ ini diberikan kepada segolongan agamawan dan 
sekelompok umat Islam. 

Justeru, wajarlah diberikan penjelasan terhadap apa yang di katakan sebagai ‘Wahabi’ secara umum; kebaikan dan kelemahan mereka, serta sikap dan tindakan umat Islam secara umumnya dalam polemik ini.

‘Wahabi’ sering dikaitkan dengan Arab Saudi

Label dan gelaran ‘Wahabi’ seakan sinonim dan seringkali dikaitkan dengan kerajaan Arab Saudi. 
Kelompok ‘Wahabi’ disandarkan kepada ideologi dan gerakan dakwah yang pernah dilakukan 
oleh seorang tokoh tajdid di negara Arab Saudi. Beliau adalah al-Imam al-Syaikh Muhammad bin
Abdul Wahab r.a. (1115H/1703M-1206H/1792M) yang lahir di al-Uyainah (Najd) berdekatan kota 
al-Riyadh.

Al-Syaikh Muhammad r.a. bergandingan dengan al-Amir Muhammad bin Su‘ud r.a.
(1100H/1689M)-1179H-1765M) yang merupakan penguasa di al-Dir‘iyyah dengan menjadikan al-
Quran dan al-Sunnah sebagai asas perundangan serta melaksanakan hukuman hudud dan takzir.

Dalam akidah, mereka mengikuti petunjuk al-Salaf al-Salih dan dalam fiqh mereka mengikuti mazhab al-Imam Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mazhab Hanbali.

Diringkaskan cerita, gerakan dakwah al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab r.a. dengan sokongan ketenteraan al-Amir Muhammad bin Su‘ud r.a. akhirnya berjaya menubuhkan Kerajaan Arab Saudi yang pertama pada tahun 1157H/1744M.

Hal ini menjadi kelaziman dan termasuk intipati ajaran Islam untuk seorang mukmin lebih-lebih lagi yang ada pengetahuan agama agar
mendampingi, menolong dan menasihati pemimpin dalam hal yang makruf.

Maka di Arab Saudi, nama al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab r.a. harum sehingga detik ini, pengaruh dakwah dan perjuangan beliau masih dapat dilihat kesannya. 
Kerajaan Arab Saudi menekankan aspek pembangunan duniawi dan juga ukhrawi. Sarjana dan ulama dari seluruh dunia berkunjung ke sana untuk berdiskusi, mengajar, menuntut ilmu, bahkan ada yang terus hijrah menetap di sana.

Kesan daripada perkembangan yang positif ini, amalan-amalan syirik dan khurafat dapat dibendung. Jenayah juga semakin dapat dikawal dan rakyat Arab Saudi semakin makmur.

Pelbagai institusi pengajian tinggi ditubuhkan seperti Universiti Islam al-Madinah dan Universiti Ummul Qura Mekah. Ramai pelajar dari seluruh pelosok dunia melanjutkan pelajaran agama di Arab Saudi termasuklah dari Malaysia, termasuklah penulis sendiri, alhamdulillah.

Kepelbagaian mazhab menuntut toleransi

Sebelum ini kebanyakan penuntut agama pergi ke Universiti Al-Azhar Al-Syarif, Mesir. Universiti Al-Azhar ditubuhkan lebih awal dari universiti di Arab Saudi. Selepas tahun 90-an, barulah graduan lulusan universiti dari Arab Saudi pulang dan mengajar di negara kita. Kesannya, muncullah kepelbagaian dalam corak dakwah di Malaysia.

Ini adalah lumrah, sedangkan graduan Universiti Malaya pun berbeza dengan graduan UKM, walaupun jurusannya sama. Kepelbagaian ini boleh sahaja dilihat sebagai satu yang positif dalam pendekatan dakwah. Kelebihan dan kekurangan wujud pada semua pihak. Al-Imam Ahmad r.a. banyak berbeza dalam hal fiqh dengan gurunya al-Imam al-Syafie r.a. Al-Imam al-Syafie r.a. juga banyak khilaf dengan gurunya Al-Imam Malik dalam hal fiqh dan demikianlah seterusnya.

Namun hubungan mereka masih harmoni. Al-Imam al-Syafie r.a. menyatakan bahawa al-Imam Ahmad r.a. lebih alim dalam bidang hadith dan meminta agar al-Imam Ahmad r.a. memaklumkan kepadanya tentang hadith-hadith yang sahih. 

Subhanallah! Lihatlah kehebatan akhlak para ulama dan kebijaksanaan mereka. Walaupun 
berbeza pendapat, mereka tetap mampu bertoleransi dan hormat-menghormati. Pada 
hakikatnya perbezaan para Imam 4 mazhab itu hanyalah sedikit. Apa yang pasti adalah mereka semua sepakat dalam isu dasar iaitu pegangan akidah berlandaskan akidah Ahlis Sunnah wal 
Jama‘ah.

Jika perselisihan itu melewati batasan akidah, maka kita dapati para ulama tegas menangani penyelewengan dalam akidah ini, seperti Syiah, Liberal dan segala bentuk ideologi dan ajaran sesat.



Comments