Salah Faham Punca Perselisihan.

OLEH: Bhenhar Jul Abdul Razak.


SALAH FAHAM PUNCA PERSELISIHAN 

1. Saya ada kongsikan sebelum ini penerangan bahawa PENAMAAN Malaikat Maut yang masyhur sebagai IZRAIL itu tiada dasarnya atau bukanlah bersumber dari Al-Quran dan hadits Nabi. 

2. Lalu saya bawakan dalil dari Al-Quran dan Hadits bahawa Allah dan Rasul-Nya hanya menyebutkan “MALAKUL MAUT” iaitu Malaikat Kematian dan tiada menamakan Malaikat Izrail. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, 

‎قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

“Katakanlah Malakul Maut (malaikat kematian) yang ditugaskan kepada kalian akan mewafatkan kalian kemudian kalian akan dikembalikan kepada Rabb kalian.” - (surah As-Sajdah ayat 11)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

‎أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ

“Diutus Malakul Maut kepada Musa, maka ketika malaikat tersebut mendatangi Musa, Nabi Musa menamparnya. Maka kembalilah malaikat tersebut kepada Rabbnya.” - (HR. Bukhari dan Muslim)

3. Dan ini juga dinyatakan oleh Al-Hafidz Imam Ibnu Katsir dalam kitabnya Al-Bidayah wa al-Nihayah,  

“Adapun nama Malaikat Maut tidak disebutkan secara jelas di dalam al Qur’an, dan juga hadith yang sahih. Namun penamaan Izra’il tertera di dalam beberapa athar.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/47)

Maka dapat dipastikan bahawa penamaan Izrail bukanlah bersumber dari al-Quran dan hadits.

4. Dari penjelasan di atas, mungkin sahabat saya salah faham melihat saya seolah MENAFIKAN PENAMAAN IZRAIL walhal TIDAK. Sekali lagi saya TIDAK MENAFIKAN, saya hanya bawakan penjelasan bahawa penamaan Izrail itu tidaklah sahih dari al-Quran dan hadits. Kerana dalam al-Quran dan hadits hanya menyebut “Malakul Maut” Malaikat kematian. 

5. Lalu dimanakah munculnya penamaan Izrail ? Dalam fatwa Mufti Wilayah ada menerangkan, 

“perkataan Izra’il kemungkinan besar berasal daripada Bahasa Ibrani. Dalam Tanakh (salah satu daripada kitab suci agama Yahudi), perkataan Azrael ada disebutkan dan digambarkan sebagai Malaikat Maut. (Lihat A Dictionary of Angels: Including The Fallen Angels, hlm. 64-65)

Maka nama Izrail ini secara jelasnya adalah dari riwayat Isra’iliyyat.”

Apa itu riwayat Israiliyyat ? Iaitu cerita dan peristiwa yang bersumber dari Yahudi.

Menurut Doktor Zahabi, ulama tafsir dan hadis telah memperluaskan pengertian Israiliyyat kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala, yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain - (Az-zahabi, Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadits, muka surat 19-20).

Lalu bagaimana sikap seorang muslim ketika berinteraksi dengan riwayat-riwayat israiliyyat ? Para ulama tafsir membahagikan jadi tiga kategori :

(1) Menerima riwayat israiliyyat yang bertepatan dengan Al-Quran dan hadits. Contohnya riwayat mengenai nama Nabi Khidir dan perkhabaran mengenai kedatangan Nabi Muhammad.

(2) Menolak riwayat Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan hadits. Contohnya cerita Malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh. Maka riwayat sebegini dilarang disebut melainkan dengan disertakan ulasan mengenai kepalsuan dan pendustaan riwayat tersebut.

(3) Riwayat yang tidak diketahui kebenaran atau kepalsuan. Majoriti ulama membolehkannya untuk diriwayatkan dengan syarat tidak MEMBENARKAN atau MENAFIKAN riwayat tersebut. Selain itu kebenaran meriwayatnya juga tertakluk kepada isu yang diriwayatkan. Sekiranya berkaitan hukum syariah dan aqidah maka tidak dibenarkan untuk diriwayatkan. Sekiranya sekadar kisah hikayat semata atau sebagai maklumat tambahan maka dibolehkan untuk menyebutnya bersama penerangan sebenar mengenai riwayat tersebut.

6. Kembali kepada pasal PENAMAAN IZRAIL, riwayat israiliyyat tentang nama Izrail termasuk kategori ketiga di atas. Maka tidak boleh menafikan penamaan Izrail itu Malaikat Maut dan tidak boleh membenarkan secara pasti bahawa nama malaikat maut itu Izrail. 

Kerana itu kita lihat dalam kitab-kitab para ulama seperti Imam Ibnu Katsir, walaupun beliau mengatakan penamaan Malaikat Maut itu tiada dalam al-Quran dan hadits sahih tapi beliau menukilkan penamaan Izrail sebagai Malaikat Maut dalam kitab tafsirnya sebagai maklumat tambahan..

Begitu juga Al-Imam al-Ghazali, Al-Qadhi ‘Iyadh, Ibnu Taimiyyah dan juga banyak kitab-kitab tafsir ulama ada menukilkan penamaan Izrail. 

Namun begitu nukilan ulama menyebut Malaikat Maut sebagai Malaikat Izrail bukanlah dalil bahawa nama Izrail bersumber dari al-Quran dan hadits Nabi. tidak ngam istidlalnya. akan tetapi ia adalah maklumat tambahan riwayat israiliyyat yang dimuatkan bagi menerangkan Malaikat Maut.

7. Kesimpulannya, saya hanya berkongsi pengetahuan bahawa nama Malaikat Maut yang masyhur dikenal Malaikat Izrail itu bukanlah bersumber dari al-Quran dan hadits Nabi, akan tetapi ia adalah dari riwayat israiliyyat. Dan interaksi seorang muslim berhadapan dengan riwayat israiliyyat tentang penamaan Izrail ini adalah tidak menafikan Malaikat Maut sebagai Malaikat Izrail, cukaplah ia sebagai pengetahuan tambahan dan juga tidak membenarkan secara yakin dan pasti bahawa Izrail adalah nama bagi Malaikat Maut, kerana Allah dan Rasul-Nya tidak menamakan Malaikat Maut sebagai Izrail. 

Demikian juga halnya tentang Malaikat Penjaga Syurga sebagai Malaikat Ridhwan..

Adapun nama-nama Malaikat yang lain seperti Malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Malik, Mungkar dan Nakir, Harut dan Marut, jelas nama-nama ini disebutkan dalam al-Quran dan hadits Nabi.. cuma nama bagi Malaikat Maut dan Malaikat Penjaga Syurga tidak ditemui dalam al-Quran dan Hadits sahih. 

Wallahu’alam..



Comments