Sekali Lagi Muhaizad...

OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli.

1- Sekali lagi saudara Muhaizad al-Yamani mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta menyeleweng.

2- Dakwanya “kalau Rasulullah ikut jalan kanan, tok guru ambo ikut jalan kiri, nescaya ambo akan ikut jalan tok guru ambo daripada jalan Rasulullah”.

3- Seperti biasa apabila dikritik, saudara Muhaizad pasti akan mengulangi skrip sama “ini bukan ambo kato, ini ulamok kato, ambo naqol jah”. 

Sedangkan ini bukan sikap ahli ilmu sejati. Ahli ilmu yang jujur dengan ilmu akan sentiasa berhati-hati dalam menukilkan sesuatu kenyataan lebih-lebih lagi yang berkait dengan agama. Rasulullah SAW bersabda :

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سمع

Maksudnya : Cukuplah seseorang itu dianggap berbohong apabila dia menceritakan semua perkara yang dia dengar.

Riwayat Muslim (5).

4- Mengapa saya kata kenyataan tersebut mengelirukan ? Kerana jika ada orang awam yang mendengar kenyataan ini, ia boleh memberi gambaran bahawa tiada masalah sekiranya kita tidak mengikuti jalan Rasulullah S.A.W, sebaliknya kena ikut jalan tok guru, walaupun jalan itu menyelisihi jalan Rasulullah. 

Alangkah bahayanya kenyataan ini. Entah berapa ramai tok guru palsu yang bergembira dengan kenyataan ini. Masing-masing sudah ada hujah baharu untuk membenarkan kesesatan masing-masing kepada para pengikut mereka. “Apa-apa pun, kena ikut tok guru, sekalipun bercanggah dengan jalan Rasulullah”. الله المستعان ، إنا لله وإنا إليه راجعون 

5- Saya merayu, tolonglah berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang berkait dengan Rasulullah SAW. Jauhilah sebarang ucapan yang mengelirukan, serta jelas-jelas tidak berakhlak dan tidak beradab dengan baginda SAW seperti ini.

6- Ketahuilah bahawa tidak akan sesat seseorang yang benar-benar mengikut jalan Rasulullah SAW. Sebaliknya, entah berapa ramai yang tersesat disebabkan mengikut jalan guru-guru yang menyeleweng.

7- Rayuan juga kepada pihak berkuasa agama. Takwalah kepada Allah, serta ambillah tindakan tegas yang sewajarnya dalam menjaga kesucian agama Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.



Comments