Sunah Imam Menghadap Makmum Selepas Solat.

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman.

SUNAH IMAM MENGHADAP MAKMUM SELEPAS SOLAT

- Hidupkan as-Sunah.

- Imam jangan terus kekal menghadap kiblat.

Makruh bagi imam untuk terus menghadap kiblat selepas selesai solat. 

Sebaliknya disunatkan baginya selepas beristighfar sebanyak tiga kali dan mengucapkan ‘Allahumma anta as-Salam, waminka as-Salam, tabarakta ya zaljalali walikram’ untuk berpusing menghadap makmum dengan wajahnya. 

Ini berdasarkan hadis Samurah bin Jundub, katanya: 

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ.

“Nabi ﷺ setelah selesai solat akan menghadap kami dengan wajahnya.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Daripada al-Bara’ bin Azib, katanya: 

 كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ ﷺ أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِه.

“Dahulu kami apabila solat di belakang Rasulullah ﷺ kami gemar berada di sebelah kanannya (agar baginda) menghadap kami dengan wajahnya (selepas solat).” 

[Sahih. Riwayat Muslim]

Sesudah Nabi ﷺ beristighfar sebanyak tiga kali dan mengucapkan ‘Allahumma anta as-Salam, waminka as-Salam, tabarakta ya zaljalali walikram’, kata Ibnu al-Qayyim (wafat 751H): 

لَم يَمْكُثْ مُسْتَقْبِلَ القِبْلَةَ إلّا مِقْدَارَ مَا يَقُولُ ذَلِك بَلْ يُسْرِع الانْتِقَالَ إلى المأمُومِينَ.

“Baginda ﷺ tidak akan duduk menghadap kiblat kecuali sekadar untuk mengucapkan bacaan-bacaan tersebut kemudian baginda ﷺ akan segera berpaling menghadap makmum.”

[Zad al-Ma’ad, 1/295]

Menurut Ubadillah al-Mubarakfuri (wafat 1414H), kebiasaannya sesudah memberi salam Nabi ﷺ berpaling dari kiblat dan berpusing ke kanan atau ke kiri. Baginda ﷺ tidak akan terus menghadap kiblat. Sekiranya ada hajat dan keperluan untuk berbicara dengan jemaah maka baginda ﷺ akan menghadap ke arah seluruh makmum dan berbicara dengan mereka. Jika tidak maka baginda ﷺ akan berpusing ke kanan dengan menjadikan sebelah kanannya menghadap makmum manakala sebelah kirinya menghadap kiblat. Dan ada kalanya baginda ﷺ berpusing ke sebelah kiri dengan menjadikan sebelah kirinya menghadap makmum manakala sebelah kanannya menghadap kiblat. Ada kalanya juga baginda ﷺ tidak duduk tetapi bangkit menuju ke tempat hajatnya sama ada ke kanan atau ke kiri. 

[Mir’at al-Mafatih, 3/303]

Ada ulama berpandangan bahawa hikmah imam menghadap makmum selepas selesai solat ialah supaya imam dapat mengajarkan kepada makmum hal-hal yang diperlukan atau supaya orang yang datang lewat tahu bahawa solat jemaah sudah selesai. Ada juga yang berpandangan bahawa imam membelakangkan makmum semasa solat ialah kerana tujuan pelaksanaan solat tersebut tetapi setelah salam hendaklah dia berpusing menghadap makmum bagi mengelak daripada sifat takbur dan sombong (dengan terus membelakangkan makmum). 

[Fathulbari oleh Ibnu Hajar, 2/334]

Hidupkan Sunah Nabi ﷺ. Jauhi apa yang menyalahinya.   

Idris bin Sulaiman 
Kajang 
18 Rejab 1443H /
20 Februari 2022 



Comments