Tadabbur al--Kahfi.

OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli.

Dalam pada kita dianjur untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, ayuhlah merenung firman Allah SWT :

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ

Maksudnya : Adakah patut kamu menjadikan iblis dan zuriatnya (syaitan) sebagai pelindung selain dari Aku, sedangkan mereka itu adalah MUSUH buat kamu.

Surah al-Kahf (50).

Allah SWT menyifatkan iblis dan syaitan sebagai musuh kita. Biasanya apabila kita memusuhi seseorang, kita akan benci, tak nak tahu apa-apa perkembangan dia, menjauh dan mengelakkan diri darinya, serta sentiasa menyelisihinya.

Orang yang rapat dengan musuh kita pun kita rasa tak selesa untuk bersama dengannya. Sedang orang yang turut tidak menyukai musuh kita, biasanya kita akan selesa bersama dengannya.

Kerana itu timbul kata-kata : “the enemy of my enemy is my friend” yang bermaksud : Musuh kepada musuh kita adalah kawan kita.

Justeru, amat pelik apabila kononnya ada seseorang yang bercakap dengan syaitan yang merasuk badan manusia, lalu syaitan tersebut menyebut kena jauhi golongan sekian dan kena pertahan golongan sekian, tiba-tiba kita yang sepatutnya menjadikan syaitan sebagai musuh, hanya ‘sami’na wa atho’na’ bahkan menjadikan pula kenyataan tersebut sebagai satu hujah dan dalil.

Sedang sepatutnya, apa sahaja yang syaitan suka, kita kena menyelisihinya dengan membenci perkara itu. Manakala apa sahaja yang syaitan benci, kita kena menyelisihinya dengan menyukai perkara itu. Itulah baru yang dinamakan sebagai MUSUH. Kalau seseorang itu main percaya dan ikut sahaja apa kata syaitan tanpa sebarang burhān, itu maknanya syaitan itu KAWAN dia dan geng sekapal dengannya.

Wallahul muwaffiq.



Comments