Ulama-ulama Yang Berpendapat Tarawih Lapan Rakaat

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Sejujurnya saya malu untuk mengulas isu rakaat tarawih, kerana ramai yang lebih bersungguh-sungguh menghidupkan malam-malam Ramadan tanpa membabitkan diri ke dalam perdebatan ini. Tetapi, saya melihat ada tuduhan yang perlu dijawab, iaitu mengatakan tidak ada ulama mutaqaddimīn yang menetapkan tarawih sebanyak lapan rakaat. Jika ada, itu adalah pendapat ulama muta’akhkhirīn yang tidak boleh dijadikan pegangan.

Saya mempunyai kajian dalam hal ini yang menghimpunkan enam nama ulama yang hidup sehingga kurun kesembilan yang dinukilkan berpendapat bahawa disyariatkan bertarawih dengan lapan rakaat secara khusus. Saya menggunakan perkataan “dinukilkan” kerana sebahagian daripada nukilan itu memerlukan perincian.

Kajian ini saya masukkan sebagai satu bab dalam buku, dan cadangannya saya tidak mahu menyiarkannya di sini kerana itu “modal” buku saya (dan saya risau nukilan-nukilan yang dibawa akan digunakan semula oleh orang lain tanpa menyebutkan sumber, seolah-olah saya yang meniru daripada mereka!) Akan tetapi, tuduhan tersebut benar-benar mengganggu saya, jadi bab itu saya paparkan di sini untuk manfaat semua (dan nota kaki akan saya berikan nanti - insya-Allah):


ULAMA-ULAMA SEHINGGA KURUN KESEMBILAN YANG DINUKILKAN BERPENDAPAT TARAWIH LAPAN RAKAAT

Kerap didengari para imam dan ustaz-ustaz mengatakan keempat-empat mazhab bersepakat mengatakan bilangan rakaat tarawih adalah 20 rakaat. Kalau ada pendapat lain, itu adalah 36 rakaat, bukan lapan. Maksud mereka, solat tarawih lapan rakaat atau 11 rakaat termasuk witir yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam di negara ini adalah mengikut pendapat shadhdh. 

Lebih dahsyat, disebabkan pendapat tersebut sangat asing dan dimasyhurkan oleh Kaum Muda dan Wahabī, mereka menyangka pendapat tersebut bidaah dan rekaan golongan yang dianggap sesat itu, sampaikan ada yang berkeras bertarawih sebanyak 20 rakaat demi mengelak mengamalkan pendapat tarawih lapan, walaupun dengan sangat laju!

Masing-masing mengakui bahawa penetapan tarawih sebanyak lapan rakaat wajar dari sudut bertepatan dengan hadis ‘Ā’ishah RA yang masyhur itu, namun mereka menolaknya kerana menyangka tiada ulama muktabar khususnya daripada mazhab yang empat yang berpendapat begitu. Dengan kata lain, hadis tersebut bagi mereka seperti hadis-hadis lain yang sepakat tidak diamalkan zahirnya.

Sebenarnya, pendapat tarawih lapan rakaat ini – meskipun tidak masyhur seperti pendapat 20 dan 36 rakaat – telah dinukilkan daripada beberapa orang ulama daripada pelbagai mazhab sehingga kurun kesembilan, dan sebahagian nukilan ini sabit dan maḥfūẓ daripada mereka. Ulama-ulama yang dimaksudkan ialah:

Pertama, Imam Mālik dalam satu riwayat.

Kedua, Imam Dāwūd al-Ẓahīrī (270 H).

Ketiga, Kadi al-Jūrī al-Shāfi‘ī (kurun keempat H). 

Semua ini diambil daripada kata-kata Imam al-Damīrī:

وَقَالَ مَالِكٌ: التَّرَاوِيحُ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بِالوِتْرِ، وَاخْتَارَهُ الجُورِيُّ مِن أَصْحَابِنَا، وَهُوَ مَذْهَبُ دَاوُودَ...

"Kata Mālik, tarawih 11 rakaat bersama witir dan dipilih oleh al-Jūrī daripada aṣḥāb kita. Itu juga mazhab Dāwūd…" (1)

Pendapat ketiga Imam Mālik itu juga dinukilkan oleh Ibnu Sha‘bān al-Mālikī (355 H). Al-Lakhmī (478 H) menukilkan dalam al-Tabṣirah bahawa Ibnu Sha‘bān mengatakan dalam kitabnya, Mukhtaṣar Mā Laysa bi-al-Mukhtaṣar:

الَّذِي يَأْخُذُ بِنَفْسِي فِي ذَلِكَ الَّذِي جَمَعَ عَلَيْهِ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ النَّاسَ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بِالوِتْرِ، وَهِيَ صَلَاةُ رَسُولُ اللهِ ﷺ، وَإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ ثَلَاثِ عَشْرَةَ رَكْعَةً قَرِيبٌ.

"Yang aku pilih dalam hal itu (rakaat tarawih) ialah bilangan rakaat yang orang ramai dihimpunkan oleh ‘Umar RA iaitu 11 rakaat bersama witir dan ia adalah solat Rasulullah SAW. 11 rakaat dan 13 rakaat itu hampir." (2)

Nukilan Ibnu Sha‘bān daripada Mālik lemah, (3) tetapi ia disokong oleh nukilan al-Jūrī daripada Imam Mālik, sebagaimana yang dinukilkan Taqiyy al-Dīn al-Subkī (756 H), iaitu:

وَقَالَ الجُورِيُّ مِنْ أَصْحَابِنَا: عَنْ مالك أَنَّهُ قَالَ: الَّذِي جَمَعَ عَلَيْهِ النَّاسَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَحَبُّ إِلَيَّ، وَهُوَ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَهِيَ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قِيلَ لَهُ: إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بِالْوَتْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ وَثَلَاثَ عَشْرَةَ قَرِيبٌ، قَالَ: وَلَا أَدْرِي مِنْ أَيْنَ أُحْدِثَ هَذَا الرُّكُوعُ الْكَثِيرُ.

"Kata al-Jūrī daripada aṣḥāb kami, “daripada Mālik, bahawa beliau mengatakan, ‘yang orang ramai dihimpunkan oleh ‘Umar b. al-Khaṭṭāb lebih aku sukai iaitu 11 rakaat dan ia adalah solat Rasulullah SAW.’ Beliau ditanya, ‘11 rakaat bersama witir?’ Jawabnya, ‘ya, dan 13 rakaat itu hampir.’ Katanya lagi, ‘aku tidak tahu daripada mana mereka mengada-adakan rakaat yang banyak ini’.”" (4)

Jika sumber mereka berbeza sebagaimana berbezanya bentuk dan lafaz masing-masing, riwayat ini kuat dan boleh dijadikan asas untuk mengatakannya pendapat ketiga Imam Mālik. 

Nukilan al-Damīrī daripada al-Jūrī tentang pendapat beliau mungkin tidak tepat. Yang tepat barangkali ialah pendapat tiada bilangan khusus rakaat tarawih sebagaimana yang dinisbahkan oleh beliau kepada Imam al-Shāfi‘ī dalam katanya:

إِنَّ عَدَدَ الرَّكَعَاتِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَا حَدَّ لَهُ عِنْدَ الشَّافِعِيِّ لِأَنَّهُ نَافِلَةٌ.

"Bilangan rakaat dalam (qiyām) bulan Ramadan tiada had di sisi al-Shāfi‘ī kerana ia adalah solat sunat." (5)

Kadi Abu al-Ḥasan al-Jūrī ini termasuk dalam aṣḥāb al-wujūh dalam mazhab Shāfi‘ī, namun qawl yang dinukilkannya daripada Imam al-Shāfi‘ī dan ikhtiyār beliau sendiri tidak termaktub sebagai salah satu qawl dan wajh dalam mazhab, serta tidak dicatat dalam kebanyakan kitab mazhab. Sebabnya, ulama mazhab – khususnya Imam al-Rāfi‘ī dan al-Nawawī yang bertindak selaku muḥarrir pendapat-pendapat dalam mazhab – terlepas pandang nukilan dan pendapat al-Jūrī dalam masalah ini. Puncanya dapat dilihat dalam kenyataan Tāj al-Dīn al-Subkī (771 H):

وَمِنْ تَصَانِيفِهِ كِتَابُ المـُــــرْشِدُ فِي شَرْحِ مُخْتَصَرِ المــُزَنِيِّ، أَكْثَرَ عَنْهُ ابْنُ الرِّفْعَةِ وَالْوَالِدُ رَحِمَهُمَا اللهُ النَّقْلَ، وَلَمْ يَطَّلِعْ عَلَيْهِ الرَّافِعِيُّ وَلَا النَّوَوِيُّ رَحِمَهُمَا اللهُ، وَقَدْ أَكْثَرَ فِيهِ مِنْ ذِكْرِ أَبِي عَلِيِّ بْنِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَأَضْرَابِهِ.

"Antara karya beliau ialah kitab al-Murshid fī Sharḥ Mukhtaṣar al-Muzanī. Ibnu al-Rif‘ah dan ayahanda (Taqiyy al-Dīn al-Subkī) – semoga Allah merahmati mereka – kerap menukilkan daripadanya. Al-Rāfi‘ī dan al-Nawawī – semoga Allah merahmati mereka – tidak pernah membacanya. Beliau kerap menyebut Abū ‘Alī b. Abū Hurayrah (345 H) dan seumpamanya di dalamnya." 

Keempat, Imam al-Bājī (474 H). Pada asasnya, beliau berpendapat bahawa afdal untuk memendekkan bacaan dan memperbanyak jumlah rakaat tarawih atas dasar meringankan, namun:

وَهَذَا عِنْدِي فِي الْجَمَاعَاتِ وَالْمَسَاجِدِ، وَلَوْ اسْتَطَاعَ أَحَدٌ فِي خَاصَّةِ نَفْسِهِ أَنْ يُصَلِّيَ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِالْمِئِينَ لَكَانَ أَفْضَلَ، وَقَدْ وَرَدَ عَنْهُ ﷺ أَنَّهُ قَالَ: (أَفْضَلُ الصَّلَاةِ طُولُ الْقِيَامِ).

"Demikian bagi aku di perhimpunan orang ramai dan masjid. Sekiranya seseorang mampu secara bersendirian solat 11 rakaat dalam setiap rakaat dengan mi’ūn (surah yang mempunyai sekitar 100 ayat atau lebih) maka lebih afdal. Datang daripada baginda SAW bahawa sabdanya, “sebaik-baik solat adalah memanjangkan qiyām.”"

Kelima, Imam Ibnu al-‘Arabī al-Malikī (543 H). Katanya selepas menyebut khilaf tentang rakaat tarawih:

وَالصَّحِيحُ أَنْ يُصَلِّيَ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً صَلَاةَ النَّبِيِّ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ وَقِيَامُهُ فَأَمَّا غَيْرُ ذَلِكَ مِنَ الأَعْدَادِ فَلَا أَصْلَ لَهُ وَلَا حَدَّ فِيهِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بُدٌّ مِنَ الحَدِّ فَمَا كَانَ النَّبِيُّ يُصَلِّي مَا زَادَ النَّبِيُّ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي رَمَضَانَ وَلَا غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشَرَ رَكْعَةً، وَهَذِهِ الصَّلَاةُ هِيَ قِيَامُ اللَّيْلِ فَوَجَبَ أَنْ يُقْتَدَى فِيهَا بِالنَّـبِيِّ عَلَيْهِ السَّلَامُ.

"Yang sahih adalah solat sebanyak 11 rakaat seperti solat Nabi ‘alay-hi al-ṣalāh wa-al-salām dan qiyām baginda. Adapun bilangan-bilangan selain daripada itu, tiada asalnya dan tiada had di dalamnya. Bilamana mesti mempunyai had, maka solat Nabi, Nabi AS tidak menambah dalam bulan Ramadan dan selainnya lebih daripada 11 rakaat. Solat ini adalah qiamullail, maka wajib mengikut Nabi AS padanya."

Cuma, terdapat kemusykilan yang dilontarkan oleh Syeikh Ismā‘īl b. Muḥammad al-Anṣārī (1417 H) mengenai nas ini yang wajar diberikan perhatian. Katanya:

"Adapun Abū Bakr b. al-‘Arabī, maka beliau mensarihkan di awal kalamnya dalam ‘Āriḍah bahawa bilangan rakaat tarawih tidak mempunyai had tertentu. Baki ibarat ‘Āriḍah mempunyai taḥrīf dan kecacatan yang menghalang aku daripada berpegang dengannya. Ibnu al-‘Arabī mensarihkan dalam Aḥkām al-Qur’ān semasa mentafsirkan ayat “dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya” [al-Baqarah: 185] bahawa tiada rakaat yang muqarrarah (ditetapkan) dalam qiamullail di samping bahawa sesuatu apabila sabit daripada sahabat maka tidak diambil kira penyelisihan orang yang menyelisihi mereka."

Nas Ibnu al-‘Arabī dalam Aḥkām al-Qur’an itu ialah:

وَظَنَّ قَوْمٌ أَنَّ هَذَا كَأَعْدَادِ الْوُضُوءِ وَرَكَعَاتِ صَلَاةِ اللَّيْلِ، وَهُوَ وَهْمٌ مِنْ قَائِلِهِ لَيْسَ فِي الْوُضُوءِ أَعْدَادٌ - وَقَدْ بَيَّنَّاهَا - وَلَا فِي قِيَامِ اللَّيْلِ رَكَعَاتٌ مُقَدَّرَةٌ...

"Ada golongan menyangka bahawa ini (takbir solat hari raya) seperti bilangan wuduk dan rakaat solat malam dan ia adalah waham daripada pengucapnya. Tidak ada bilangan dalam wuduk – dan kami telah menerangkannya – dan tiada rakaat muqaddarah (ditentukan) pada qiamullail…"

Barangkali pertentangan ini dapat diselesaikan dengan mengatakan bahawa qiamullail dan tarawih asalnya tidak mempunyai penetapan rakaat di sisi Ibnu al-‘Arabī. Namun, jika perlu atau hendak ditentukan juga bilangan rakaat, maka tidak boleh menjadikan selain sunnah Nabi SAW sebagai pegangan atau rujukan. Kesimpulan ini selaras dengan kalamnya di tempat lain, iaitu: 

تَقْدِيرٌ: لَيْسَ لِصَلَاةِ رَمَضَانَ وَلَا غَيْرِهَا تَعْدِيدٌ، إِنَّمَا التَّعْدِيدُ وَالتَّقْدِيرُ لِلْفَرَائِضِ وَإِنّمَا هُوَ قِيَامُ اللَّيْلِ كُلِّهِ إِلَى طُلُوعِ الفَجْرِ لِمَنْ اسْتَطَاعَ أَوْ بَعْضَهُ عَلَى قَدْرِ مَا تَنْتَهِي إِلَيْهِ قُدْرَتُهُ، وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُصَلِّي فِي القِيَامِ تِسْعًا وَثَلَاثِينَ رَكْعَةً يَخْتَصُّ الإِمَامُ مِنْهَا بِاثْنَي عَشْرَةَ رَكْعَةً .وَالتَّقْدِيرُ الشَّرْعِي ثَلَاثٌ كَعَدَدِ الوِتْرِ أَوْ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً أَوْ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً أَوْ خَمْسَ عَشْرَةَ رَكْعَةً [أَوْ سَبْعَ عَشْرَةَ رَكْعَةً حَسَبَ مَا وُرِدَ عَنِ النَّبِيِّ ﷺ فِي قِيَامُ اللَّيْلِ وَحَسَبَ] عَدَدَ رَكْعَاتِ الصَّلَوَاتِ الفَرْضِيَّةِ فِي العَدَدِ الآخِرِ مِنْهَا، فَأَمَّا غَيْرَ ذَلِكَ مِنَ الأَعْدَادِ فَلَا يَحْصُلُ فِي تَقْدِيرٍ وَلَا يَنْتَظِمُ بِدَلِيلٍ، وَاللهُ أَعْلَمُ.

"Penetapan kadar: tiada penetapan bilangan untuk solat Ramadan atau lain-lain. Penetapan bilangan dan kadar hanya untuk solat-solat fardu dan ia hanyalah qiyām seluruh malam hingga terbit matahari bagi orang yang mampu atau sebahagian malam mengikut kadar kemampuannya. Ada orang solat qiyām 37 rakaat yang 12 rakaat dikhususkan untuk imam (?). Penetapan kadar mengikut syarak adalah tiga rakaat seperti bilangan witir, 11 rakaat, 13 rakaat, 15 rakaat, atau 17 rakaat mengikut riwayat yang datang daripada Nabi SAW tentang qiamullail dan mengikut rakaat solat-solat fardu pada bilangan terakhir (17 rakaat). Sementara bilangan selain daripada itu tidak dapat dicapai untuk menetapkan kadar dan tidak terselaras dengan dalil. Wallahualam."

Berdasarkan penjelasan ini, disimpulkan bahawa lapan adalah salah satu daripada beberapa bilangan rakaat qiamullail dan tarawih yang ada asasnya daripada syariat di sisi Ibnu al-‘Arabī, tidak seperti bilangan-bilangan lain termasuk 20 rakaat.

Keenam, Kamāl al-Dīn Ibnu al-Humām (861 H). Menurut beliau, 8 rakaat adalah sunnah Rasulullah SAW manakala 20 rakaat adalah sunnah khulafā’ rāshidūn dan mustaḥabb. Mengitlakkan tarawih 20 rakaat sebagai sunnah, bagi beliau, tidak tepat. Beliau menyebut riwayat-riwayat tentang tarawih Rasulullah SAW dan tarawih pada zaman ‘Umar RA, lalu mengatakan:

فَتَحَصَّلَ مِنْ هَذَا كُلِّهِ أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ سُنَّةً إحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بِالْوِتْرِ فِي جَمَاعَةٍ فَعَلَهُ ﷺ ثُمَّ تَرَكَهُ لِعُذْرٍ... وَكَوْنُهَا عِشْرِينَ سُنَّةُ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ، وَقَوْلُهُ ﷺ (عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ) نَدْبٌ إلَى سُنَّتِهِمْ، وَلَا يَسْتَلْزِمُ كَوْنُ ذَلِكَ سُنَّتَهُ إذْ سُنَّتُهُ بِمُوَاظَبَتِهِ بِنَفْسِهِ أَوْ إلَّا لِعُذْرٍ... فَتَكُونُ الْعِشْرُونَ مُسْتَحَبًّا وَذَلِكَ الْقَدْرُ مِنْهَا هُوَ السُّنَّةُ كَالْأَرْبَعِ بَعْدَ الْعِشَاءِ مُسْتَحَبَّةٌ وَرَكْعَتَانِ مِنْهَا هِيَ السُّنَّة، وَظَاهِرُ كَلَامِ الْمَشَايِخِ أَنَّ السُّنَّةَ عِشْرُونَ، وَمُقْتَضَى الدَّلِيلِ مَا قُلْنَا، فَالْأَوْلَى حِينَئِذٍ مَا هُوَ عِبَارَةُ الْقُدُورِيِّ مِنْ قَوْلِهِ: يُسْتَحَبُّ، لَا مَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ فِيهِ.

"Maka, disimpulkan daripada ini semua bahawa qiyām Ramadan sunnah sebanyak 11 rakaat termasuk witir secara berjemaah yang dilakukan oleh baginda SAW kemudian baginda meninggalkannya kerana keuzuran... Dan sebanyak 20 rakaat adalah sunnah khulafā’ rāshidūn dan sabdanya SAW “hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafā’ rāshidūn” menggalakkan sunnah mereka, tetapi tidak semestinya ia menjadi sunnah baginda kerana sunnah baginda dengan baginda sendiri yang melakukannya atau jika tidak kerana keuzuran... Oleh itu, 20 rakaat adalah mustaḥabb dan kadar itu (11 rakaat) daripadanya adalah seperti empat rakaat selepas isyak adalah mustaḥabb dan dua rakaat daripadanya adalah sunnah. Zahir perkataan mashāyikh bahawa sunnah adalah 20 dan muqtaḍā dalil apa yang telah kami katakan. Jadi yang lebih utama ketika ini ialah ibarat al-Qudūrī (428 H) yang katanya, “digalakkan,” bukan seperti yang disebutkan oleh penulis (al-Marghīnānī (593 H))."

Kesimpulannya:

Pendapat yang mensyariatkan tarawih sebanyak lapan rakaat dinukilkan daripada enam orang ulama sehingga kurun kesembilan, iaitu:

a. Imam Mālik dalam satu riwayat

b. Dāwūd al-Ẓahirī

c. Al-Jūrī

d. Al-Bājī sebagai yang lebih afdal untuk dilakukan sendirian

e. Ibnu al-‘Arabī 

f. Ibnu al-Humām sebagai sunnah.


____________________________

(1) Al-Najm al-Wahhāj fī Sharḥ al-Minhāj; op. cit.; h. 312-313.

(2) Al-Ṭabṣirah (1432 H); Aḥmad ‘Abd al-Karīm Najīb (ed); Qatar: Wizārah al-Awqāf wa-al-Shu’ūn al-Islāmiyyah; j. 2, h. 821.

(3) Dalam al-Dībāj al-Mudhhab fī Ma‘rifah A‘yān ‘Ulamā’ al-Madhhab (t.t); Muḥammad al-Aḥmadī Abū al-Nūr (ed); Kaherah: Dār al-Turāth; j. 1, h 195, Ibnu Farḥūn (799 H) mencatatkan:

"Abū al-Ḥasan al-Qābisī (403 H) mengatakan tentangnya bahawa beliau layyin al-fiqh. Sementara itu, buku-bukunya mengandungi gharā’ib daripada pendapat Mālik dan pendapat-pendapat yang ganjil daripada golongan yang tidak masyhur perguruan dengannya (Mālik) yang bukan daripada apa yang diriwayatkan oleh aṣḥāb beliau yang thiqah dan yang kekal daripada mazhabnya."

(4) Al-Ibtihāj fī Sharḥ al-Minhāj dalam “Al-Ibtihāj fī Sharḥ al-Minhāj min Awwali Kitāb al-Ṣalāh ilā Nihāyah Bāb Ṣalāh al-Nafl: Dirāsah wa-Taḥqīqan” (1431 H); tesis PhD Universiti Umm al-Qurā; h. 704.

(5) Lihat: ibid.; h. 705.

(6) Ṭabaqāt al-Shāfi‘iyyah al-Kubrā (1383 H); Dār Iḥyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah – Faiṣal ‘Īsā al-Bābī al-Ḥalabī; j. 3, h. 457.

(7) Al-Muntaqā Sharḥ al-Muwaṭṭa’ (t.t); Kaherah: Dār al-Kitāb al-Islāmī; j. 1, h. 209. 

(8) ‘Āriḍah al-Aḥwadhī bi-Sharḥ Ṣāḥīh al-Tirmidhī (1418 H); Jamāl Mar‘ashlī (ed); Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah; j. 4, h. 16.

(9) Taṣḥīḥ Ḥadīth Ṣalāh al-Tarāwīḥ ‘Ishrīn Rak‘ah (1408 H); Riyadh: Maktabah al-Imām al-Shāfi‘ī; h. 23. 

(10) Aḥkām al-Qur’an (1424 H), Muḥammad ‘Abd al-Qādir ‘Aṭā (ed); Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah; j. 1, h. 125.

(11) Al-Qabas fī Sharḥ Muwaṭṭa’ Mālik ibni Anas (1992 M); Muḥammad ‘Abd Allāh Walad Karīm (ed); Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmī; j. 1, h. 284. Tambahan dalam tanda siku berdasarkan dua naskhah manuskrip sebagaimana yang tercatat dalam ibid.; nota kaki no. 4 dan kitab lain beliau, al-Masālik fī Sharḥ Muwaṭṭa’ Mālik (1428 H); Muḥammad b. al-Ḥusayn al-Sulaymānī et al. (eds); Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmī; j. 2, h. 478. 

(12) Fatḥ al-Qadīr (1424 H); ‘Abd al-Razzāq Ghālib al-Mahdī (ed); Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah; h. 485-486.

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments