OLEH : Ustaz Idris bin Sulaiman.
- Cara, cara & cara pelaksanaan
- Ustaz menokok tambah lafaz hadis
Demikian menurut seorang ustaz yang cuba mempertahankan amalan tahlil yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat.
Ucapan 'lailahaillallah' dalam tahlil sememangnya bagus, disyariatkan dan adalah sebaik-baik zikir sebagaimana sabda Nabi ﷺ.
Tetapi apa yang perlu diberi perhatian di sini ialah CARA perlaksanaan ibadah ini.
Perbuatan mengucapkannya dengan cara-cara tertentu, menggeleng-menggeleng kepala, beramai-ramai secara kuat dan mengkhususkan waktu atau hari tertentu adalah menyalahi sunah Nabi ﷺ.
Nabi ﷺ dan para Sahabat tidak pernah melakukannya sedemikian.
Sebaliknya mereka berzikir 'lailahaillah' dan zikir-zikir yang lain secara bersendirian, suara perlahan dan pada bila-bila masa tanpa mengkhususkan hari atau acara-acara tertentu.
Supaya lebih faham, lihat sahaja bacaan Al-Quran.
Membaca Al-Quran adalah bagus dan sangat dianjurkan tetapi jika dibaca dalam tandas maka hukumnya berubah menjadi haram!
Apa yang dipertikaikan di sini bukanlah bacaan Al-Quran itu tetapi cara atau tempat ia dibaca.
Maka inilah realiti amalan baharu dalam masyarakat yang kebanyakannya mempunyai asalnya dalam agama seperti membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa tetapi dalam masa yang sama ia menyalahi as-Sunah dari sudut cara, masa atau tempat pelaksanaannya.
Justeru tidak cukup untuk hanya dilihat sama ada sesuatu amalan itu ada asalnya atau tidak dalam agama.
Sebaliknya hendaklah dipastikan cara pelaksanaannya juga menepati apa yang digariskan oleh agama agar selari dengan amalan Nabi ﷺ dan para Sahabat.
-------------------
Menurut ustaz (dalam video) “Nabi kata dalam hadis ni, benda baru kalau takda sumber dia, takda asal dia daripada Quran hadis (maka hendaklah ia di) tolak.”
Lafaz hadisnya bukan begitu. Tiada sama sekali perkataan ‘asal’ dalam hadis yang dimaksudkan.
Sebaliknya Nabi ﷺ bersabda:
وإيَّاكم ومحدَثات الأمور، فإن كلَّ بدعة ضلالةٌ.
“Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah (pembaharuan dalam agama) ialah kesesatan.”
[Sahih. Riwayat Abu Daud]
Sabda Nabi ﷺ:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Sabdanya ﷺ lagi:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak."
[Sahih. Riwayat Muslim]
Hadis-hadis di atas jelas memaksudkan semua amalan baharu dalam agama, sama ada yang ada asalnya dalam agama atau tidak. Semuanya ditegah.
Daripada Allah ﷻ jua kita memohon petunjuk panduan dan kejayaan.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment