Lailatul Qadr Ialah Malam Yang Bersih

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Lailatul Qadr itu merupakan malam yang bersih. Kebaikannya juga tidak akan diperoleh melainkan bagi mereka yang jantung hatinya turut bersih.

Inilah yang ditafsirkan oleh Imam Qatadah dan Imam Ibn Zaid terhadap ayat سَلَامٌ هِي. Iaitu : 

هي خير كلها ليس فيها شر إلى مطلع الفجر

Maksudnya : Malam tersebut adalah baik keseluruhannya. Tidak terdapat sebarang keburukan pada malam tersebut sehinggalah terbitnya fajar.

Rujuk Tafsir Al-Quran al-‘Azim, Ibn Katsir (8/445)

Demikian Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata :

كم من قائم محروم ، وكم من نائم مرحوم ، هذا نام وقلبه ذاكر ، وهذا قام وقلبه فاجر

Maksudnya : Berapa ramai orang yang melakukan qiyam itu terhalang (dari mendapat kebaikan). Dan berapa ramai orang yang tidur itu mendapat rahmat. Orang ini tidur sedang jantung hatinya berzikir. Manakala orang ini pula qiyam sedang jantung hatinya fājir (penuh dengan kejahatan).

Rujuk Lata’if al-Ma’arif, Ibn Rajab al-Hanbali (442)

Para ulama salaf kita menganjurkan untuk memakai pakaian cantik serta memakai wangi-wangian pada 10 malam terakhir Ramadan. Dalam masa yang sama, jangan dilupa untuk mewangi, mencantik, serta membersihkan jantung hati kita bagi memperoleh kebaikan Malam al-Qadr.

Renunglah sabda Rasulullah SAW :

‎وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَهَا فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ وَلاَ يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلاَّ مَحْرُومٌ 

Maksudnya : Pada bulan Ramadan itu terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Siapa yang tidak memperolehnya maka dia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya. Dan tidaklah terhalang dari mendapat kebaikannya melainkan orang yang benar-benar terhalang.

Riwayat Ibn Majah (1644)



[Gerakan PENA Malaysia]

Comments