OLEH: Ustaz Idris Sulaiman
- Kedudukan hadis daif di sisi ulama
- Berdusta atas nama Nabi ﷺ
Ustaz Iqbal Zain – hadahullah – dalam beberapa hantarannya baru-baru ini berkata:
“Para Muhaddithin telah bersepakat bahawa hadith da’if adalah untuk diamalkan bukan untuk ditinggalkan.”
“Para Ulama Muhaddithin membenarkan hadith-hadith da’if disampaikan kepada masyarakat.”
Kenyataan-kenyataan di atas adalah sangat mengelirukan jika bukan pembohongan sama sekali.
Apa yang diperselisihkan oleh para ulama ialah tentang sejauh mana dibolehkan beramal dengan hadis daif dalam hal-hal yang berkaitan dengan fadilat amal. Ada yang membolehkannya secara mutlak, ada yang menetapkan syarat-syarat tertentu dan ada yang melarangnya secara mutlak.
Antara ulama besar yang melarang beramal dengan hadis daif secara mutlak; tidak kira sama ada dalam hukum ataupun fadilat amal ialah Imam Yahya Ibnu Main, Imam Bukhari, Imam Muslim, al-Hafiz Abu Zakaria an-Nisaburi, Imam Abu Zur’ah ar-Razi, Imam Abu Hatim ar-Razi, Imam Ibnu Hibban, Imam Abu Sulaiman al-Khattabi, Ibnu Hazm, Ibnu al-‘Arabi, Ibnu Taimiah, Abu Shamah al-Maqdasi, Jalaluddin al-Dawani, Imam al-Shaukani, Siddiq Hasan Khan dan Syeikh Ahmad Syakir.
[al-Hadis al-Daif Wa Hukm al-Ihtijaj Bihi oleh Abdul Karim al-Khudair]
Kata Imam Muslim dalam mukadimah kitab Sahihnya:
الْوَاجِبَ عَلَى كُلِّ أَحَدٍ عَرَفَ التَّمْيِيزَ بَيْنَ صَحِيحِ الرِّوَايَاتِ وَسَقِيمِهَا، وَثِقَاتِ النَّاقِلِينَ لَهَا مِنَ الْمُتَّهَمِينَ أَنْ لَا يَرْوِيَ مِنْهَا إِلَّا مَا عَرَفَ صِحَّةَ مَخَارِجِهِ.
“Adalah menjadi kewajipan atas setiap mereka yang dapat membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang lemah dan perawi-perawinya yang thiqah dengan mereka yang dicela supaya tidak mengambil daripadanya kecuali (hadis-hadis) yang diketahui kesahihannya.”
Kata Imam Ibnu Rajab:
وَظَاهِرُ مَا ذَكَرَهُ مُسْلِمٌ فِي مُقَدِّمَة كِتَابِهِ يَقْتَضِي أَنَّهُ لا يَرْوِي أحَادِيثَ التَّرْغِيبَ إلَّا عَمَّنْ تُرْوَى عَنْهُ الأحْكَامِ.
“Zahir apa yang dimaksudkan oleh Imam Muslim dalam mukadimah kitabnya ialah bahawa hadis-hadis al-Targhib (fadilat amal) tidak boleh diriwayatkan melainkan daripada perawi-perawi yang diriwayatkan daripadanya hadis-hadis hukum.”
[Syarah Ilal al-Tirmizi oleh Ibnu Rajab]
Yakni dengan kata lain, hanya hadis-hadis yang sahih sahaja yang boleh diguna pakai sama ada dalam hukum ataupun fadilat amal.
Justeru tidak boleh bagi seorang Muslim - apatah lagi para ilmuwan - menisbahkan mana-mana hadis kepada Nabi ﷺ melainkan setelah dipastikan kesahihannya berdasarkan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh para ulama hadis.
Ini merangkumi segala apa yang berkaitan dengan agama sama ada dalam bab akidah, ibadah, akhlak, fadilat amal ataupun yang lain.
Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
اتَّقُوا الحَدِيثَ عَنِّي إلَّا مَا عَلِمْتُمْ، فَمَنْ كَذَبَ عَلّيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأُ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menisbahkan sesebuah hadis kepadaku melainkan apa yang kamu pasti. Sesungguhnya barang siapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia bersiap-sedia akan tempatnya dalam neraka.”
[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 2951]
Imam Abu Shamah al-Maqdasi dalam kitabnya ‘al-Baith Ala Inkar al-Bida’ Wal Hawadith’ menegaskan bahawa perbuatan seseorang menukilkan hadis daif tanpa menyatakan status daifnya merupakan perbuatan yang salah di sisi para ulama muhaqqiqin. Malah orangnya diancam dengan sabda Nabi ﷺ:
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ وَهُوَ يَرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ.
“Barang siapa menukilkan hadis yang dilihatnya dusta maka dia tergolong dalam kalangan para pendusta”
[Sahih. Mukadimah Sahih Muslim]
Imam Ibnu Hibban dalam kitabnya ‘al-Majruhin Min al-Muhaddithin’ menegaskan bahawa dalam hadis di atas Nabi ﷺ tidak mengatakan “Barang siapa menukilkan hadis yang diyakininya dusta” dan ini menunjukkan bahawa sesiapa yang menukilkan sesebuah hadis dalam keadaan dia tidak pasti sama ada hadis yang dinukilkannya itu sahih atau tidak maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang diancam dalam hadis di atas.
Adapun mereka yang menyandarkan sesebuah hadis kepada Nabi ﷺ tanpa mengetahui sama ada ia sahih atau tidak maka ia juga berdosa kerana ia termasuk dalam perbuatan berbicara tanpa ilmu sedangkan Nabi ﷺ bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ.
“Cukuplah seseorang itu dikira sebagai pendusta apabila dia berbicara dengan segala apa yang didengarinya”.
[Sahih. Mukadimah Sahih Muslim]
Pendek kata, jika benar para ulama hadis sependapat bahawa hadis daif adalah untuk diamalkan dan membenarkan hadis-hadis daif disampaikan kepada masyarakat (tanpa menyatakan status daifnya?) maka mengapa pula Imam Bukhari dan Imam Muslim hanya memuatkan hadis-hadis yang sahih sahaja dalam dua kitab Sahih mereka berdasarkan syarat-syarat yang sangat ketat seperti mana yang dijelaskan oleh para ulama?
Dan mengapa para ulama hadis zaman berzaman terus menerus membahaskan tentang ilmu hadis, mustalah hadis dan ilmu rijal (perawi) dalam kitab-kitab mereka jika kedua-dua hadis sahih dan daif boleh diamalkan?
Jelas mereka membezakan antara kedua-duanya; hadis sahih dan daif dari sudut status kedudukannya dan juga kedudukan kebolehan beramal dengannya.
Dukacitanya ada mereka yang tetap mahu menegakkan benang yang basah.
Allah ﷻ jua pemberi taufik hidayah.
Comments
Post a Comment