Zakat Fitrah: Ibadah Yang Afdhal Dilewatkan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Zakat fitri adalah zakat sempena “fitri” iaitu berbuka puasa, sama seperti Aidilfitri (‘Īd al-Fiṭr) yang bermaksud hari raya berbuka puasa (walaupun ramai yang mengaitkannya dengan maksud fitrah iaitu asal kejadian). Istilah “fitrah” merujuk zakat fitrah adalah lafaz muwallad, iaitu bukan kalimah asal bahasa Arab mahupun pinjaman daripada bahasa asing. 

Waktu sebenar mengeluarkan zakat fitrah adalah pagi raya sebelum solat hari raya berdasarkan hadis sahih, “bahawa Rasulullah SAW memerintahkan zakat fitrah dikeluarkan sebelum orang ramai keluar solat (hari raya).” Oleh kerana itu waktu sebenar, maka itu adalah waktu paling afdal untuk mengeluarkan zakat fitrah. Dan ini antara sebab solat sunat hari raya Aidilftri digalakkan untuk dilewatkan, iaitu untuk memberi laluan orang ramai mengeluarkan zakat fitrah.

Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa mengeluarkan zakat fitrah pada akhir Ramadan atau pada pagi raya itu lewat. Walhal, ulama mazhab kita bersepakat menyunatkan membayar zakat fitrah pada pagi raya – dan termasuk malam raya di sisi sebahagian – dan bukannya pada awal Ramadan, 15 Ramadan, atau pada 10 hari terakhir, dan itulah sunnah yang sebenar. Sebahagian salaf dan mazhab lebih keras dalam hal ini kerana berpegang kepada asal, dengan melarang zakat fitrah dikeluarkan sebelum penghujung Ramadan. Mereka mengharuskan zakat fitrah dikeluarkan sehari dua sebelum raya pun atas dasar rukhsah iaitu memudahkan.

Ada satu faedah yang penting untuk dihadam, dinukilkan oleh Syeikh Sulaymān al-Jamal (1204 H) dalam ḥashiyahnya ke atas Sharḥ Manhaj al-Ṭullāb daripada Imam al-Nāshirī (833 H):

اعْلَمْ أَنَّ فِي الْعِبَادَاتِ مَا يُسْتَحَبُّ تَأْخِيرُ فِعْلِهِ عَنْ أَوَّلِ وَقْتِ وُجُوبِهِ وَزَكَاةُ الْفِطْرِ مِنْ ذَلِكَ

“Ketahuilah bahawa dalam ibadat ada yang digalakkan dilewatkan daripada awal waktu wajib dan zakat fitrah daripadanya.”

Naẓīr masalah ini ialah solat sunat witir yang waktu sebenar dan terbaik adalah pada penghujung malam walaupun sudah boleh dikerjakan sejurus selepas isyak.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments