Isu Sujud Kepada Para Masyayikh : Pandangan Ulama Mazhab Al-Syafi’e

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Imam Al-Nawawi ada mengulas berkenaan isu seseorang yang mendekatkan diri (beribadah) kepada Allah dengan perbuatan sujud, tanpa sebarang sebab. Beliau katakan, ada pendapat yang menyebut perbuatan tersebut hukumnya haram. Pendapat lain pula mengatakan, ia dibolehkan (harus). Kemudian beliau menyambung :

وليسَ من هَذَا مَا يفْعلُهُ كثيرونَ مِن الجَهَلَةِ الظَّالمينَ من السُّجودِ بين يدي المشايخ ، فإنَّ ذلك حرام قطعًا بكل حالٍ ، سواء كان إلى القبلة أو غيرها ، وسواء قصد السجود لله تعالى أو غفل ، وفي بعض صوره ما يقتضي الكفر عافانا الله تعالى

Maksudnya : Dan tidak termasuk dalam kategori ini apa yang dilakukan oleh ramai orang dari kalangan orang-orang yang jahil lagi zalim berkenaan sujud di hadapan para masyayikh. Sesungguhnya perkara yang demikian ini adalah haram secara pasti pada setiap keadaan. Sama ada sujud itu menghadap ke arah kiblat atau selainnya. Sama ada seseorang itu meniatkan sujud kerana Allah Ta’ala atau tidak. Dan pada sebahagian bentuknya, ada yang boleh membawa kepada kekufuran. Semoga Allah berikan keselamatan kepada kita.

Rujukan Raudah al-Talibin (1/326), Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab (4/69).

2- Syaikhul Islam Zakariya Al-Ansari menyebut :

وعلم من كلامه حرمة مَا يفْعلُهُ كثيرونَ مِن الجَهَلَةِ الظَّالمينَ من السُّجودِ بين يدي المشايخ ولو إلى القبلة أو قصده لله تعالى وفي بعض صوره ما يقتضي الكفر عافانا الله تعالى ، وقوله تعالى وخروا له سجدا ، منسوخ أو مؤول

Maksudnya : Dan diketahui dari kata-kata beliau (penulis kitab) adalah keharaman apa yang dilakukan oleh ramai orang dari kalangan orang-orang yang jahil lagi zalim berkenaan sujud di hadapan para masyayikh, sekalipun sujud itu ke arah kiblat, atau dia niatkan kerana Allah. Dan pada beberapa bentuknya, ada yang boleh membawa kepada kekufuran. Semoga Allah selamatkan kita. Dan firman Allah “lalu mereka pun menyungkur sujud kepadanya”, ayat ini mansukh ataupun ia ditakwil.

Rujukan Asna al-Matalib, Zakariya Al-Ansari (1/199)

3- Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan kata-kata Imam al-Hafiz Ibn al-Solah :

ما يفعله عوام الفقراء من السجود بين يدي المشايخ فهو من العظائم أي الكبائر ولو كان بطهارة وإلى القبلة وأخشى أن يكون كفرا

Maksudnya : Apa yang dilakukan oleh golongan awam dari kalangan orang-orang miskin dari perbuatan bersujud di hadapan masyayikh maka ia merupakan sebahagian dari perkara yang berat iaitu dosa-dosa besar. Sekalipun sujud itu berlaku dengan wuduk serta menghadap ke arah kiblat. Dan aku khuatir perbuatan itu boleh membawa kepada kekufuran.

Ibn al-Solah menyambung : Firman Allah “وخروا له سجدا” telah mansukh atau ia ditakwil bahawa syariat generasi sebelum kita (شرع من قبلنا) adalah bukan syariat bagi kita.

Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami (1/146).

4- Saya menambah, ayat وخروا له سجدا “dan mereka menyungkur diri bersujud kepadanya (Nabi Yusuf)” adalah satu bentuk penghormatan pada zaman mereka. Adapun pada syariat kita, penghormatan sesama kita yang disyariatkan adalah ucapan salam. Ini yang disebutkan oleh para mufassirin ketika mentafsirkan ayat ini.

5- Kesimpulan, sujud di hadapan para masyayikh adalah haram. Semata sujud tidak menjadikan seseorang itu jatuh kufur, kecuali jika dia berniat sujud dengan menjadikan syaikh itu sebagai ma’bud (sembahan) baru jatuh kufur. Inilah yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Wallahul Muwaffiq.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments