Ahli Sunnah Mengiktiraf Tawassul?

 OLEH: Abdullah Izzat


Bukannya Ahli Sunnah tidak mengiktiraf perbuatan tawassul, tetapi perbuatan tawassul itu sendiri terbahagi kepada dua jenis; yang dibolehkan, dan yang dilarang.

Kali ini kita akan baca berkenaan dengan perbuatan tawassul yang dibolehkan dahulu, in shāʾ Allāh, akan diterjemahkan bahagian perbahasan tawassul yang dilarang pula satu hari nanti.

Shaykh Ṣāliḥ bin Fawzān al-Fawzān – semoga Allāh memelihara beliau – berkata dalam kitab beliau Durūs fī Sharḥ Nawāqiḍ al-Islām (m/s 76-77):

Tawassul itu terbahagi kepada dua jenis, yang dibolehkan, dan yang dilarang:

Yang pertama, tawassul yang dibolehkan, ia mempunyai beberapa jenis:

(1) Tawassul kepada Allāh dengan nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya. Allāh taʿālā berfirman: “Khusus bagi Allāh nama-nama yang terbaik itu, maka dengan itu kamu semua serulah Dia dengannya, dan kamu semua tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari apa yang sah dan betul di dalam nama-nama-Nya, kerana akan segera diberikan balasan akan mereka terhadap apa yang adalah dahulu mereka kerjakan”. [Sūrat al-Aʿrāf, ayat 180]

“Maka dengan itu, kamu semua serulah Dia dengannya”, yakni: Kamu semua bertawassullah kepada Allāh dengannya (dengan nama-nama Allāh yang terbaik itu). Oleh itu kamu boleh berdoa dengan: “Wahai al-Raḥman, rahmatilah saya”, “wahai al-Ghafūr, ampunilah saya”, “wahai al-Karīm, kurnialah dan cukupkanlah keperluan saya”, “wahai Ghanī, bantulah saya” dan seterusnya. Kamu bertawassul kepada-Nya dengan nama-nama-Nya sebagaimana Nabi Ayyūb bertawassul, baginda berdoa: “Sesungguhnya Aku, segala penderitaan telah menimpaku, sedang Engkaulah yang paling mengasihani dari antara mereka yang menunjukkan belas kasihan” [Sūrat al-Anbiyāʾ, ayat 83].

Baginda bertawassul kepada Allāh dengan [menyeru] bahawasanya Allāh adalah yang paling mengasihani dari antara mereka yang menunjukkan belas kasihan (arḥam al-rāḥimīn), lalu Allāh pun memperkenankan doa baginda.

Nabi Yunus juga bertawassul dalam keadaan baginda berada dalam perut ikan paus, berada dalam kegelapan yang bertimpa-timpa; kegelapan lautan, kegelapan malam dan kegelapan perut ikan paus, “lalu dia telah mengisytiharkan di dalam kegelapan-kegelapan dengan ucapan: “Tiada apa jua Tuhan melainkan hanyalah Engkau, Maha Suci Engkau, kerana sesungguhnya aku, adalah aku dari kalangan orang-orang yang zalim”, lalu Kami telah memperkenankan baginya”.

Nabi Yūnus bertawassul kepada Allāh melalui tawḥīd, [dengan mengucapkan]: “Tiada apa jua Tuhan melainkan hanyalah Engkau”, dan baginda bertawassul kepada Allāh dengan bertasbih kepada-Nya, yakni: baginda mensucikan-Nya, dan baginda bertawassul kepada Allāh dengan pengakuan baginda terhadap dosa-dosa baginda [dengan mengucapkan]: “kerana sesungguhnya aku, adalah aku dari kalangan orang-orang yang zalim”. Lalu Allāh pun memperkenankan doa baginda.

(2) Begitu juga boleh untuk bertawassul dengan doa orang-orang yang soleh yang masih hidup, sebagaimana ʿUmar bertawassul dengan ʿAbbās dengan meminta ʿAbbās untuk berdoa, dan sebagaimana Muʿāwiyah bertawassul dengan doa Yazīd al-Jurashī.

Kerana inilah para fuqaha berkata dalam Kitāb al-Istisqāʾ: “Dan digalakkan untuk bertawassul dengan orang-orang soleh”, yakni dengan doa orang-orang soleh sebagaimana yang dilakukan oleh ʿUmar, bukanlah yang dimaksudkan itu adalah bertawassul dengan hak, zat dan kedudukan mulia mereka.

Tawassul dengan kedudukan mulia, tawassul dengan hak individu, atau tawassul dengan kedudukan individu di sisi Allāh ini kesemuanya adalah tawassul yang bidaah dan haram. Ia adalah salah satu daripada jalan menuju kesyirikan.



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments