Boleh Berbahasa Lapik

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Sekiranya ada perkataan-perkataan tertentu yang kita rasa malu untuk menyebutnya, sama ada disebabkan di hadapan kita ada orang yang kita hormat, atau kanak-kanak, maka kita dianjurkan untuk menggunakan bahasa kiasan/berlapik yang boleh difahami sebagai ganti kepada perkataan tersebut.

Contohnya, penggunaan perkataan-perkataan seperti buang air kecil, buang air besar, hubungan intim suami isteri, bagi menggantikan perkataan-perkataan yang mungkin seseorang itu berasa segan untuk menyebutnya.

Petunjuk ini adalah berdasarkan perbuatan ibunda kita A’isyah R.Anha, saat beliau ditanyakan oleh Rasulullah SAW : “Apa yang berlaku kepada kamu ?”.

‘A’isyah menjawab :

لَا أصلي

Maksudnya : “Aku tak boleh solat”.

Riwayat Muslim (1211).

Kata Al-Imam al-Nawawi :

فيه استحباب الكناية عن الحيض ونحوه مما يستحيى منه

Maksudnya : Padanya terdapat anjuran untuk menggunakan bahasa kiasan/berlapik bagi haid dan yang seumpamanya, yang mana seseorang berasa malu dengannya.

Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/318).

Ibn al-Munayyir berkata : Pada ucapan A’isyah R.Anha : “Aku tidak boleh solat”, beliau telah menggunakan bahasa kiasan terhadap haid dengan menyebut hukum yang khas berkenaannya (iaitu tidak boleh solat). Ini sebagai suatu adab dari A’isyah. Kesan daripada itu, anak-anak perempuan beliau dari kalangan wanita-wanita mukmin, semuanya menggunakan kiasan terhadap haid dengan perkataan “tidak boleh solat” atau selainnya.
Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/454).


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments