Tujuan Utama Berniaga

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis


Tujuan utama berniaga sekiranya hanya mendapat kekayaan, maka selepas mendapat kekayaan, apa lagi yang boleh memuaskan hati?

Ini berbeza sekiranya berniaga bertujuan menginginkan menjadi peniaga yang jujur kerana kedudukan peniaga yang jujur dan amanah bersama dengan para nabi dan golongan Siddiqin dan syuhada'. 

Nabi berkata : 

التاجر الصدوق الأمين مع النبيين والصديقين والشهداء

Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama nabi para Siddiqin dan syuhada' (HR Tirmizi, beliau mengatakan hadith ini Hasan.

Dalam hadith ini, nabi tidak menyebutkan peniaga yang untung besar ataupun untung yang banyak tetapi peniaga yang jujur dan amanah. 

Ini kerana keuntungan sesuatu perniagaan boleh jadi atas jalan menyalahi syarak seperti membuat iklan dan marketing yang separa menipu ataupun menindas staf, agen, stokis dll. 

Mungkin orang seperti ini disanjungi didunia kerana berjaya dan kayanya mereka serta harta yang melimpah ruah, tetapi pada hakikatnya diri mereka tidak terlepas daripada doa orang yang dizalimi dan juga azab yang menimpa mereka pada hari kiamat kelak.

Begitu juga peniaga yang perniagaannya tidak melalaikan diri daripada mengingati Allah dan menunaikan solat . Ini kerana mereka tergolong peniaga yang dipuji oleh Allah sepertimana yang termaktub didalam Al-Quran surah an-Nur ayat ke 37.

Sepertimana firman Allah SWT yang menyebut:

Lelaki-lelaki yang mana jual beli dan perniagaannya tidak melalaikan dirinya daripada mengingati Allah dan menunaikan solat serta mereka takut pada hari yang berbolak hati dan juga pandangan. ( Surah an-Nur ayat 37)

Apatah lagi peniaga yang mana menjaga hak-hak orang bawahannya, baik staf, agen, stokis dsb, maka kesemuanya memberikan pahala buatnya.

Lagi pun bagi para peniaga mereka cukup mengetahui bukan mudah untuk menjadi peniaga yang jujur lagi amanah. Amanah terhadap pelanggan, amanah didalam proses penjualan, pengiklanan, memberikan terma dan syarat didalam promosi dan sebagainya. 

Lebih mudah untuk seseorang peniaga itu untung besar dengan membuat penipuan didalam pengiklanannya, stok, harga produk, penindasan terhadap staf, agen dan stokis serta lain-lain.

Jualan tutup kedai! 

Sedangkan pada hakikatnya hanyalah ingin melariskan produk yang tidak laku.

Begitu juga atas nama infak dan sedekah, bagi membantu fakir miskin, OKU dan anak yatim sedangkan pada hakikatnya hanyalah ingin menghabiskan stok yang sedia berlambak didalam stor ataupun gudang.

Sedangkan jikalau produknya laku, ataupun stok expired masih jauh lagi, tidaklah ingin ia berbuat sedemikian. 

Bukanlah semua tetapi hati-hatilah.

Biarlah infak dan sedekah itu berjalan bukan kerana untuk stok yang tidak laku atau tempoh expired hampir tamat, begitu juga dengan promosi-promosi yang lain.

Biarlah kekayaan itu diperolehi dengan cara berkat, bukan dengan cara sebaliknya. Apatah lagi jikalau menjadikan perniagaan sebagai tempat untuk mencuci duit yang haram supaya kelihatan bersih, maka ianya lebih-lebih lagi.



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments