Ahli Sunnah Itu Hanyalah Ashā’irah dan Mātūridiyyah ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Pengikut-pengikut aliran Ashā’irah dan Mātūridiyyah mendakwa bahawa Ahl al-Sunnah terhad dan khusus kepada mereka. Sesiapa menolak akidah mereka dikira terkeluar daripada Ahli Sunnah dan sesat. 

Tetapi, sama ada sedar atau tidak, ramai ulama yang selalu dirujuk dan dianggap muktabar oleh mereka rupa-rupanya tidak pun bermazhab Ashā’irah-Māturidiyyah, bahkan ada yang terang-terangan mengecam dan menyesatkan aliran tersebut. Tiga daripada mereka ialah: 

1. Imam al-‘Imrānī (558 H), pengarang al-Bayān fī Madhhab al-Shāfi‘ī. Kitab ini selalu dirujuk dalam mazhab Shāfi‘ī. Penolakannya terhadap mazhab Ashā’arī boleh dibaca dalam kitab al-Intiṣār fī al-Radd ‘ala al-Mu‘tazilah al-Qadariyyah al-Ashrār. 

Antara katanya dalam kitab itu:

 فذكر الحروف المتصلة المقطعة في أول السور ، وأخبر أنها الكتاب والقرآن وأنها منزلة . وهذا كله يبطل قول الأشعري ومن قال بقوله.

“Maka, Dia menyebut huruf-huruf yang bersambung sekerat-sekerat di permulaan surah dan menyebut bahawa ia adalah kitab dan al-Quran, dan merupakan (kitab) yang diturunkan. Semua ini membatalkan kata-kata al-Ash‘arī dan orang-orang yang bersetuju dengannya.”

2. Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī (561 H), ulama sufi yang diagung-agungkan oleh pengikut mazhab Ashā’irah. Beliau bermazhab Ḥanbalī baik dalam akidah mahupun fiqh dan sangat kuat berpegang dengan akidah Imam Aḥmad b. Ḥanbal. 

Imam Ibnu Rajab (795 H) dalam Zayl Ṭabaqāt al-Ḥanābilah menukilkan daripada Imam al-Ṣarṣarī (656 H) bahawa al-Jaylānī ditanya, “wahai sīdī, adakah Allah mempunyai wali yang tidak berakidah Aḥmad b. Ḥanbal?” Jawabnya:

ما كان، ولا يكون.

“Tidak pernah dan tidak akan ada.”

Beliau sangat menentang golongan Ashā’irah dan ketegasannya boleh dilihat dalam kata-katanya dalam kitab al-Ghunyah:

وقد نص الإمام أحمد رحمه الله على إثبات الصوت في رواية جماعة من الأصحاب رضوان الله عليهم أجمعين، خلاف ما قالت الأشعرية من أن كلام الله معنى قائم بنفسه، والله حسيب كل مبتدع ضال مضل...

“dan Imam Aḥmad rahimahullah mengisbatkan suara dalam riwayat segolongan aṣḥāb riḍwān Allāh ‘alay-him ajma‘īn, bersalahan dengan yang dikatakan oleh Ash’ariyyah iaitu bahawa kalamullah adalah makna yang berdiri sendiri, dan Allah akan memberi balasan ke atas setiap mubtadi‘ yang sesat lagi menyesatkan...” 

3. Imam Ibnu al-Jawzī (597 H), pengarang Daf‘ Shubah al-Tashbīh yang menjadi rujukan penting Ashā’irah dalam menyesatkan Ḥanābilah dan Wahhābī. Akidah beliau sebenarnya celaru dan keliru kerana beliau walaupun bermazhab Ḥanbalī, namun beliau terpengaruh dengan mutakallimīn. 

Al-Dhahabī dalam kata-kata yang ditujukan kepadanya:

... فإنّك يوما أشْعَرِيّ، ويوما حنبليّ، وتصانيفك تُنْبئ بذلك. فما رأينا الحنابلة راضين بعقيدتك، ولا الشّافعية.

“... Kerana engkau sehari bermazhab Ash’arī dan sehari bermazhab Ḥanbalī. Tulisan-tulisanmu menceritakannya. Oleh itu, kami tidak melihat pengikut mazhab Ḥanbalī mahupun pengikut mazhab Shāfi‘ī (Ash’arī) yang reda dengan akidahmu.”

Dalam al-Muntaẓam, semasa menulis biografi Abū al-Ḥasan al-Ash’arī, Ibnu al-Jawzī menukilkan kalam al-Azdi (334 H) tanpa menyebut namanya: “maka Abū al-Ḥasan al-Ash’arī bermuwafaqah dengan Mu‘tazilah dalam mengatakan bahawa ini (al-Quran) makhluk dan berkata, ‘ini bukan kalamullah. Kalamullah adalah sifat yang berdiri dengan zat-Nya...’ Sejak menzahirkan pandangan ini bimbang dengan keselamatan dirinya kerana menyalahi Ahli Sunnah...”

Kata beliau selanjutnya, 

 ثم تبع أقوام من السلاطين مذهبه فتعصبوا له، وكثر أتباعه حتى تركت الشافعية معتقد الشافعي رضي الله عنه ودانوا بقول الأشعري.

“Kemudian, beberapa golongan daripada pemerintah mengikut mazhabnya sehingga taksub dan bertambahlah pengikutnya sehingga golongan Shāfi‘iyyah meninggalkan akidah al-Shāfi‘ī RA dan beriktikad dengan kata-kata al-Ash’arī.”

Jelas dalam kata-kata yang dinukilkan tanpa bantahan ini bahawa mereka menganggap Imam Abū al-Ḥasan al-Ash’arī (324 H) bukan Ahli Sunnah dalam masalah kalamullah dan berpendapat bahawa akidah ulama mazhab Shāfi‘ī yang asal bukan akidah Ash’ariyyah, tetapi akidah Imam al-Shāfi‘ī.

Ulama-ulama yang tidak berakidah Ashā’irah-Mātūridiyyah sebenarnya sangat ramai, tetapi mereka tetap dianggap dan diperlakukan sebagai ulama-ulama Ahli Sunnah oleh mereka sendiri. Imam Ibnu al-Mibrad (909 H) menghimpunkan nama-nama tersebut dalam kitabnya, Jam‘ al-Juyūsh wa-al-Dasākir menyanggah tulisan Imam Ibnu ‘Asākir (571 H) membela al-Ash‘arī berjudul Tabyīn Kadhb al-Muftarī.

Selepas itu, beliau mengatakan:

وَقَدْ رَأَيْنَا فِي أَصْحَابِنَا وَرُفَقَائِنَا وَمَنِ اشْتَغَلَ مَعَنَا أَكْثَرَ مِنْ أَلْفِ وَاحِدٍ عَلَى مُجَانَبَتِهِمْ وَمُفَارَقَتِهِمْ، وَالْوُقُوعُ فِيهِمْ، وَمَا تَرَكْنَا مِمَّنْ تَقَدَّمَ أَكْثَرَ مِمَّنْ ذَكَرْنَا.

“Dan kami melihat dalam kalangan sahabat, teman, dan orang-orang yang bekerja bersama kami lebih daripada seribu orang yang memulau, menjauhi, dan mencela mereka. Dan yang kami tinggalkan daripada kalangan terdahulu lebih banyak daripada yang telah kami sebutkan.”

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments