Bila Sesuai Ucap ‘Wallahuaklam’?

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Wallahulmuwaffiq

- Cara penggunaan dalam ayat

Wallahuaklam bermaksud ‘Dan Allah lebih tahu’. 

Bila sesuai digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’?  

Dalam dua keadaan: 

1. Jika hendak mengatakan bahawa sesuatu yang telah disampaikan itu merupakan hasil ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah ﷻ. 

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ di sini bertujuan untuk menegaskan bahawa apa yang telah disampaikan itu bukanlah daripada kehebatan diri sendiri tetapi hasil anugerah ilahi yang mana jika bukan kerana limpahan kurniaNya nescaya ia tidak akan dapat disampaikan. 

2.  Jika hendak menegaskan bahawa perincian dan huraian lanjut sesuatu permasalahan yang dibahaskan itu diserahkan pengetahuannya kepada Allah ﷻ.

Ini kerana ilmu berkenaan sesuatu permasalahan ada tingkatan-tingkatannya dari sudut pengetahuan manusia mengenainya dan juga dari sudut sama ada ia jelas ataupun samar. 

Ada permasalahan yang bersifat ijtihad dan ada yang tidak, di samping ada permasalahan yang jelas dan ada juga yang samar.  

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ bermaksud menyerahkan pengetahuan lengkap dan sempurna mengenainya kepada Allah ﷻ, Dia jualah yang Maha Mengetahuinya. 

Ia biasanya melibatkan permasalahan-permasalahan ijtihad yang ada perselisihan pendapat dalam kalangan ahli ilmu.  


WALLAHUALAM VS WALLAHULMUWAFFIQ

Sebahagian ulama membezakan antara pendekatan mengakhiri ayat dengan perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dan ‘Wallahuaklam’ dalam permasalahan-permasalahan ilmu.

‘Wallahulmuwaffiq’ bermaksud ‘Dan Allah jualah pemberi taufik’. 

Perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan yang zahir lagi jelas manakala ‘Wallahuaklam’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan ijtihad yang sukar dan ada perselisihan.  

Contoh ayat: 

1. “Jumlah solat fardu lima waktu ialah lima, wallahulmuwaffiq.”

2. “Hukum solat witir ialah sunat, bukan wajib, wallahuaklam.”  

Tidak seperti dalam contoh yang pertama, contoh yang kedua melibatkan permasalahan ijtihad yang ada khilaf antara para ulama maka lebih sesuai untuk digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’ di akhirnya. 

Ini menunjukkan ketinggian ilmu para ulama dan ketelitian mereka dalam menggunakan perkataan-perkataan yang mana setiap perkataan itu barangkali mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri yang sebaiknya difahami dan diraikan oleh pembaca. 

Wallahulmuwaffiq. 



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments