Maulidur Rasul

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Empat Soalan

- Definisi Sambutan

- Jalur keras


Dalam Islam terdapat hanya dua perayaan, dan sambutan tahunan Maulidur Rasul bukan salah satu daripadanya. 

Buktinya ialah para Sahabat Nabi ﷺ. 

Mereka adalah golongan manusia yang paling arif tentang agama; 

Mereka adalah golongan manusia yang paling ke hadapan melakukan kebaikan; 

Mereka adalah golongan manusia yang paling cinta kepada Nabi ﷺ; 

dan

Mereka adalah golongan manusia yang paling kuat berpegang kepada sunah Nabi ﷺ. 

Meskipun demikian mereka tidak pernah menyambut Maulidur Rasul. 


EMPAT SOALAN 

Berikut empat soalan buat mereka yang menyambutnya: 

1. Adakah sambutan Maulidur Rasul ketaatan atau maksiat? 

Jika maksiat maka menyambutnya haram dan berdosa. 

Tetapi jika ia ketaatan yang menjana pahala..

2. Adakah amalan ketaatan ini diketahui oleh Nabi ﷺ? 

Tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ jahil tentang amalan ketaatan menyambut Maulidur Rasul ini.

3. Jika ia merupakan amalan ketaatan yang diketahui oleh Nabi ﷺ maka adakah baginda ﷺ pernah mengajarkannya kepada umatnya? 

Sekali lagi tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ mengetahuinya tetapi tidak mengajarkannya kepada umatnya kerana ini merupakan tuduhan berat ke atas baginda ﷺ yang bererti baginda ﷺ ada menyembunyikan hal-hal agama yang sepatutnya disampaikan kepada umatnya berdasarkan firman Allah ﷻ:  

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ.

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalahNya.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 67] 

Jika ada yang mengatakan bahawa baginda ﷺ telah menyampaikan tuntutan menyambut Maulidur Rasul maka dikatakan kepadanya, mana dalilnya? 

4. Adakah dalil anjuran menyambut Maulidur Rasul ini tidak ditemui oleh para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin sepanjang tiga kurun pertama Islam lalu generasi yang datang kemudian menemuinya? 

Atau mereka mengetahui dalilnya tetapi menolaknya lalu mereka yang terkemudian menerima dan mengamalkannya?  

Ini semua mustahil. 


DEFINISI SAMBUTAN 

Mungkin ada yang mahu menggantikan acara perarakan, berselawat beramai-ramai, berqasidah, bacaan Yasin dan tahlil kepada program ceramah sirah Nabi ﷺ dan seumpamanya.  

Sekalipun tidak sama tetapi ia masih ada syubhah.

Ini kerana apa jua program atau amalan khusus bersempena dengan Maulidur Rasul dikira termasuk dalam erti menyambutnya. 

Memandangkan tiadalah acara berkumpul beramai-ramai atau mengadakan jamuan makan melainkan itulah definisi kebanyakan sambutan. 


KESIMPULAN

Penjelasan di atas membuktikan bahawa sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah rekaan dan tokok tambah dalam agama manakala Islam berlepas diri daripadanya berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Dan sabdanya ﷺ: 

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak." 

[Sahih. Riwayat Muslim] 


CATATAN 

Tidak ada jalur keras dalam Islam tetapi jalur lurus atau menyimpang. [Al-Quran, 6: 153]




[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments