Apa Itu Sirah?

 OLEH: Zulfikar Egar


Apa yang terlintas di fikiran kita bila di sebut perkataan sirah?

Ya, mungkin ada sesetengah di kalangan kita tidak begitu berapa faham mengenai apa itu sirah.

Secara ringkasnya, sirah itu ialah peri kehidupan baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, atau sejarah hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Ada kaitan rapat dengan hadisnya, tetapi ia lebih menjurus kepada cerita atau latar belakang kehidupan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Adakalanya ulama'-ulama' perluaskan istilah sirah itu sehingga ia merangkumi sirah-sirah para sahabat baginda dan juga sirah khulafa' al-Rasyidin yakni kisah latar belakang cerita peri kehidupan para sahabat baginda nabi صلى الله عليه وسلم.

Di sebalik cerita mahupun kisah-kisah tersebut. Ada beberapa kisah (bukan semua) yang tidak tepat dan dipertikaikan.

Al-Imam Hafiz al-Iraqi seorang tokoh ulama hadis telah memberi satu peringatan.

Beliau telah menulis nazam untuk membincangkan tentang sirah itu dari awal sampai akhirnya.

Apa yang beliau sebut dalam al-fiyyah sirahnya merupakan satu peringatan yang sangat penting.

Apa itu al-Fiyyah?

Al-fiyyah ini merupakan sejenis kitab. Ada Al-fiyyah dalam nahu, ilmu nahu arab seperti Al-fiyyah Ibnu Malik yang masyhur.

'Alf maknanya seribu. Seribu bait yang terkumpul dalam itu, mengumpulkan kaedah-kaedah nahu. Itu dipanggil al-Fiyyah.

Ada al-Fiyyah dalam bentuk syair yang mengumpulkan sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari awal hingga akhir.

Jadi dalam al-Fiyyah itulah yang dalam bentuk nazam, syair. Penulisnya al-Imam Hafiz al-Iraqi menyebutkan bahawa, pelajar atau penuntut ilmu surah hendaklah mengetahui bahawa sirah itu mengumpulkan fakta yang sahih dan juga cerita yang karut marut.

Maksudnya dalam sirah itu mengumpulkan fakta dan juga sesuatu yang sebenarnya tidak berasas.

Walaupun dalam periwayatan sirah ia tidaklah seketat sebagaimana dalam periwayatan hadis dimana ada ulama' yang tidak berapa begitu mengambil berat mengenainya.

Namun kita tetap perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dengan kisah-kisah palsu yang disandarkan pada sosok tubuh diri Nabi. Itu satu hal. 

Tapi apa yang paling ditakuti dan dirisaukan ialah, jika kita tidak berhati-hati dalam hal ini, ditakuti kita akan turut menyebarkan kisah-kisah palsu tersebut kepada orang lain.

Kini sudah pun masuk bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran baginda nabi. Dan pastinya di negara kita, sana sini masjid surau akan mengadakan sambutan mahupun majlis ilmu berkaitan sejarah kelahiran nabi.

Tatkala kita berbicara  Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sama ada tentang kelahiran baginda, kisah perang baginda atau seumpamanya, perlu dipasti akan kesahihannya. Jika tidak tahu, boleh rujuk ustaz atau orang atau berilmu dalam sirah.

Semangat cintakan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم semata-mata tanpa ilmu mungkin boleh menjerumuskan kita menyebarkan sesuatu kisah atau hadis palsu lalu disandarkan pada Nabi.

Perbuatan ini sungguh bahaya kerana secara tidak langsung kita turut menipu atas nama Nabi. Sebab ada hadis yang melarang perbuatan sedemikian.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” 

[Riwayat al-Bukhari]

Menukil kembali pesanan Syeikh Sayyid Sulaiman al-Nadwi dalam al-Risalah al-Muhammadiyyah:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” 

Jangan kerana kita bersungguh-sungguh hendak berdakwah dan berbicara tentang kelahiran nabi, mahupun apa-apa jua yang berkaitan tentang diri nabi. Akhirnya neraka pula yang ditempah. Nauzubillah.

Mudah-mudahan kita dapat berwaspada agar Sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم bebas daripada kisah-kisah yang tidak berasas.

Peringatan juga untuk diri ini.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments