Kata-Kata Masyhur Yang Sebenarnya Salaf Tak Sebut

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Banyak kata-kata yang masyhur dinisbahkan kepada salaf tetapi tidak ditemui sandarannya dalam mana-mana kitab secara bersanad. Mungkin kerana lafaz yang menarik, ramai yang menyebarkan tanpa usul periksa. Lagi-lagi yang menukilkannya merupakan orang-orang yang terpelajar dan disegani. Tiga antaranya ialah:

Pertama: kata-kata yang dinisbahkan kepada Saidina ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA:

أشيعوا الكنى فإنها سنة.

“Sebarkan kunyah (gelaran Abu Polan, Ummu Polan) kerana ia adalah sunnah.”

Athar yang secara sarih mengisbatkan kesunnahan kunyah ini, setakat ini, hanya ditemui dalam tafsir al-Baḥr al-Muḥīt oleh Abū Ḥayyān al-Andalusī (745 H). Beliau menukilkannya daripada ‘Umar tanpa menyebut sanad. Al-Qurṭubī (671 H) juga menukilkan ungkapan yang hampir sama, tetapi dengan lafaz yang berbeza, iaitu:

أشيعوا الكني فإنها منبهة.

“Sebarkan kunyah kerana ia adalah peringatan.”

Kedua, kata-kata yang dinisbahkan kepada Saidina ‘Umar juga:

لو عرضت الأقدار على الإنسان لاختار القدر الذي اختاره الله له.

“Sekiranya takdir dibentangkan kepada manusia, pasti ia akan memilih takdir yang dipilih oleh Allah untuknya.”

Kata-kata ini sangat indah, dan mungkin kerana itulah ia sering dinukilkan. Namun, athar ini tidak pernah diriwayatkan atau malah disebutkan dalam mana-mana kitab, dan hal ini disahkan dalam artikel laman web Islam QA kelolaan Syeikh Ṣāliḥ b. Muḥammad al-Munajjid. Dalam artikel itu juga dijelaskan bahawa makna kata-kata itu batil.

Ketiga, soal jawab yang dinisbahkan kepada Ḥasan al-Baṣrī (atau Imam al-Shāfi‘ī):

سئل الحسن البصري: (أيختصم الرجل مع والديه؟)، قال: (لا، ولا مع نعليهما).

“Al-Ḥasan al-Baṣrī ditanya, ‘adakah seseorang boleh berbalah dengan ibu bapanya?” Jawab beliau, “tidak, tidak juga dengan sepatu mereka.”

Kata-kata ini tidak mempunyai asal.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments