Mengkritik dan Mengutuk Negara Tanah Suci

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Ada pihak-pihak di media sosial yang mengkritik dan mengutuk secara terbuka negara Tanah Suci, Arab Saudi dengan dakwaan bahawa ia tidak lagi mengikut hukum syariat dan kini sudah semakin liberal. 

Tidak dinafikan negara itu ada kelemahan dan kesalahan. 

Tetapi harus difikirkan apakah maslahat di sebalik kritikan terbuka sebegini? 

Adakah ia membawa apa-apa perubahan positif negara itu? 

Adakah pemerintah di sana mendengar kritikan dan kutukan ini sehingga mahu berubah?

Jelasnya tidak. 

Kritikan dan kutukan ini lebih kepada untuk tatapan dan perhatian Muslimin di negara ini yang hanya akan menimbulkan rasa tidak senang serta benci terhadap negara itu dan pemerintahnya. 

Perlu ditegaskan bahawa Muslimin itu bersaudara dan antara tanda iman ialah cinta sesama saudara Muslim. 

Firman Allah ﷻ: 

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ. 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu.” 

[Al-Quran, al-Hujuraat, 49: 10]

Damaikan di antara dua saudara Muslim yang bertelingkah itu, bukan menimbulkan kebencian. 

Sabda Nabi ﷺ: 

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى ‌يُحِبَّ ‌لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ.

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai buat saudaranya apa yang dia cintai buat dirinya sendiri.” 

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Cinta sesama saudara Muslim adalah sebahagian daripada iman, termasuklah mencintai negara-negara Islam seperti Malaysia dan Arab Saudi. 

Dalam masa yang sama, Muslim wajib membenci maksiat tidak kira di mana jua sama ada di negara sendiri atau di negara lain. 

Tetapi memberi perhatian kepada maksiat di Arab Saudi seolah-olah tiada maksiat di tempat lain, menimbulkan rasa tidak senang serta kebencian terhadap negara itu dan pemerintahnya, ini semua tanda hati yang sakit. 

Sebaiknya ia segara diubati agar jangan sampai memakan diri. 



CATATAN

Umat Islam cinta dan bersatu atas dasar tauhid serta manhaj Salaf yang murni. 


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments