OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Firman Allah Ta'ala:
قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِنْ شِرْكٍ وَمَا لَهُ مِنْهُمْ مِنْ ظَهِيرٍ . وَلا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai Tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka". Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; Dan Dia lah jua Yang Maha tinggi keadaannya, lagi Maha besar kekuasaanNya. (Surah Saba' ayat 22-23)
Ayat di atas menyatakan tentang pembatalan terhadap perbuatan kesyirikan. Ianya membabitkan keseluruhan asas dalam perkara syirik seperti bermohon kepada selain Allah.
Oleh kerana itu, memohon kepada selain Allah sama ada kepada malaikat yang dekat (kepada Allah), Nabi yang diutuskan, wali Allah, pokok, batu-batuan atau selainnya maka dia telah memperuntukkan kepada selain Allah 4 perkara yang merupakan pengkhususan bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Perinciannya adalah seperti berikut:
1. Al-Milk (Pemilikan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi."
2. Sekutu kepada Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya (yang bermaksud): "Dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah)."
3. Tempat memohon bantuan serta pertolongan Allah. Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala menerusi firmanNya: "Dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka."
4. Pemberi syafaat (pertolongan). Perkara ini dinafikan Allah Ta'ala (sebagaimana di dalam ayat kursi yang bermaksud): "Tidak ada pemberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya."
(Rujukan: Taisirul 'Azizil Hamid)
Comments
Post a Comment