Syeikh Al-Albani Gemar Menonton Bola?

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Terkejut membaca dakwaan seorang pensyarah Arab Saudi bahawa ulama besar Syeikh al-Albani rahimahullah gemar menonton bola sepak dan ada menyokong pasukan bola liga Eropah tertentu. 

Tiada sumber rujukan yang diberikan selain daripada mengatakan bahawa beliau mendengarnya daripada murid Syeikh al-Albani melalui orang-orang tertentu yang tidak dinamakannya. 




Jelasnya pensyarah ini tidak mengenali Syeikh al-Albani secara dekat mahupun mengetahui pembawaan dan pendirian beliau tentang hal-hal seperti ini. 

Sedangkan sesiapa yang membaca sejarah hidup Syeikh al-Albani akan mengetahui betapa beliau sangat menghargai masa, bersungguh-sungguh dan fokus pada kerja-kerja dakwah, mengkaji dan menulis. 

Syeikh Salim al-Hilali hafizahullah, salah seorang murid Syeikh al-Albani yang masih hidup menegaskan bahawa dakwaan ini adalah palsu. 

https://twitter.com/SaleemA.../status/1605286013005451289...



Masakan Syeikh al-Albani gemar menonton bola sedangkan maklum beliau tidak memiliki peti televisyen di rumah sama ada ketika menetap di Damsyik, Syria ataupun di Amman, Jordan.  

Ini ditambah dengan fatwa beliau mengenai permainan bola sepak profesional di mana beliau berpandangan bahawa ia termasuk dalam permainan-permainan yang batil dan melalaikan kerana ia membuatkan para pemainnya mengabaikan solat fardu pada waktu, mendedahkan aurat kerana pemainnya memakai seluar pendek sehingga menampakkan paha atau barangkali seluarnya ketat sehingga menampakkan bentuk kemaluan, sikap fanatik para penyokong sehingga menimbulkan kebencian dan permusuhan di samping adanya kaum wanita yang tidak menutup aurat di stadium, dan berlakunya pergaulan bebas yang dahsyat antara lelaki dan perempuan.  

Keluarga dan anak-anak Syeikh al-Albani turut mengingkari apa yang didakwakan oleh pensyarah itu. 

Menurut Syeikh Salim, secara tersiratnya dakwaan ini membawa celaan ke atas akidah dan manhaj Syeikh al-Albani dalam permasalahan ‘al-Wala wa al-Bara’. 

CATATAN

Setelah diasak hebat pensyarah itu memadamkan status dakwaan beliau tersebut tetapi masih berkeras mengatakan ia adalah sahih. 

Jika benar Syeikh al-Albani gemar mengikuti perlawanan bola sepak antarabangsa masakan beliau sempat mengetengahkan kajian-kajian dan tulisan-tulisan beliau yang berjilid-jilid banyaknya. Wallahul mustaan. 


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments