Pentingnya Akidah Tauhid

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Dakwah sekalian para nabi menekankan akidah tauhid.



Ini kerana barang siapa yang akidah tauhidnya bagus maka amalannya pun akan turut jadi bagus.

Sedangkan orang yang akidah tauhidnya rosak maka akan rosaklah juga amalan-amalan yang dilakukannya sekalipun orangnya banyak solat, berpuasa, bersedekah dan beramal ibadah.

Oleh itu, orang fasik daripada kalangan ahli tauhid jauh lebih bagus daripada orang yang banyak bersedekah dan beribadah tetapi rosak akidah tauhidnya.

Ini kerana Allah ﷻ berfirman:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka anggap baik) lalu Kami menjadikannya debu-debu yang berterbangan.”

[Al-Quran, al-Furqan, 25: 23]

Amalan-amalan yang dianggap baik itu ditolak Allah ﷻ sehingga ia jadi debu-debu yang berterbangan kerana akidah orangnya rosak dan tidak berlandaskan kepada tauhid mengesakan Allah ﷻ dalam ibadah-ibadah yang dilaksanakan.

Firman Allah ﷻ lagi:

قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا

“Katakanlah: Mahukah Kami khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah mensia-siakan amal usahanya dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka melakukan hal-hal yang baik.”

[Al-Quran, al-Kahf, 18: 103]

Mereka menyangka bahawa amalan-amalan yang dilakukan adalah baik sedangkan tidak.

Ini kerana ia tidak berdiri di atas asas yang benar iaitu akidah tauhid, mengikhlaskan segala amalan ibadah untuk Allah ﷻ semata-mata, menjauhi khurafat dan syirik di samping ittiba’, melaksanakannya mengikut contoh sunah Nabi ﷺ.


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments