OLEH: Dr Idris Sulaiman
Meratap (niyahah) ialah menangis dengan mengangkat suara atau menjerit, mengeluh akibat terlalu sedih dengan kematian seseorang.
Demikian termasuklah perbuatan mengoyak pakaian, memukul muka atau badan, menarik rambut dan sebagainya.
Semuanya termasuk dalam erti meratap yang dilarang agama dan termasuk dalam dosa besar.
Daripada Abu Saeed al-Khudri, katanya:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدُعَاءِ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ.
“Bukan daripada kalangan kami mereka yang memukul pipi, mengoyak baju dan menyeru dengan perkataan-perkataan jahiliah.”
[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]
Ini kerana orang yang meratap ialah orang yang berputus asa dan tidak menerima ketentuan takdir Allah ﷻ, di samping tidak melaksanakan kewajipan sabar menahan diri berdepan musibah.
Nabi ﷺ bersabda:
المَيِّتُ يُعَذَّبُ فِي قَبْرِهِ بِمَا نِيحَ عَلَيْهِ
“Si mati diazab dalam kuburnya kerana diratapi.”
[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]
Sabdanya ﷺ:
إِنَّ الْمَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
“Si mati diazab kerana tangisan keluarganya ke atasnya.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dua hadis di atas menunjukkan bahawa si mati diazab kerana perbuatan mereka yang meratapi kematiannya.
Perkara ini musykil mengapa si mati diazab sedangkan ia bukan perbuatannya, dan Allah ﷻ berfirman:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰ
“Dan seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.”
[Al-Quran, al-An’aam, 6:164]
Sebaik-baik jawapan ialah apa yang dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang menurutnya hadis menyatakan bahawa si mati diazab kerana perbuatan mereka yang meratapinya, dan syariat tidak mengatakan bahawa si mati ‘dihukum’ sebaliknya ‘diazab’, dan azab lebih umum daripada hukum di mana azab ialah rasa sakit, sedangkan bukan semua mereka yang rasa sakit kerana sesuatu sebab dihukum kerananya.
Dengan kata lain, sekalipun bukan satu hukuman tetapi si mati akan rasa terseksa dengan perbuatan mereka yang meratapi kematiannya.
Justeru sebaiknya diingatkan ahli keluarga agar tidak meratap, sebaliknya hendaklah bersabar, menahan hati, lisan dan anggota daripada melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya.
Comments
Post a Comment